KUALA KRAI – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam yang hilang sejak dua hari lalu dijumpai selamat di dalam kawasan kebun getah di Kampung Lubok Simpol, Seri Rahmat di sini hari ini.
Mangsa, Mazlina Abdullah, 37, ditemukan pada pukul 11.15 pagi kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas operasi pencarian dijalankan dengan bantuan bomba, agensi penyelamat dan penduduk setempat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.53 pagi sebelum sepasukan anggota bomba bergegas ke kampung tersebut.
“Seramai tujuh anggota menjalankan operasi pencarian di kawasan kebun getah selepas menerima maklumat mengenai mangsa tidak pulang ke rumah.
“Hasil maklumat keluarga, mangsa dipercayai keluar ke kebun getah bersama tiga individu lain pada pagi kelmarin sebelum gagal dikesan,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ahmad Afsham memberitahu, operasi pencarian dijalankan pada pukul 9.25 pagi dengan bantuan agensi penyelamat yang lain dan penduduk setempat.
“Mangsa yang merupakan seorang OKU masalah pembelajaran ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














