Menjadi seorang ibu sering digambarkan sebagai pengalaman yang indah dan membahagiakan. Namun di sebalik momen manis itu, terdapat pelbagai cabaran fizikal, emosi dan perubahan identiti yang jarang diperkatakan secara terbuka.
Realiti itulah yang diketengahkan oleh seniman terkenal tanah air, Red Hong Yi (yang karyanya pernah menjadi muka depan majalah antarabangsa TIME Magazine) menerusi pameran solo terbaharunya berjudul I’m a Mum?! yang dibuka sempena Hari Ibu di George Town, Pulau Pinang yang sedang berlangsung sehingga 12 Julai depan.
Dipersembahkan oleh Cultprint, pameran tersebut mengajak pengunjung menyelami pengalaman kehamilan, proses berpantang dan kehidupan selepas melahirkan anak menerusi pelbagai karya yang bersifat peribadi serta autobiografi.
Bersempena pembukaan pameran, satu sesi bicara seni turut diadakan dengan moderator Ling Yah daripada podcast So This Is My Why. Sesi yang berlangsung dalam ruang pameran itu memberi peluang kepada pengunjung mendengar sendiri pengalaman Hong Yi mengimbangi peranannya sebagai seorang seniman dan ibu.
Antara karya utama yang mencuri perhatian ialah My Confinement Bed yang menjadikan katil sebagai simbol ruang peribadi, pemulihan dan kerentanan seorang wanita selepas melahirkan anak.
Karya tersebut mempunyai persamaan dengan karya ikonik My Bed (1998) oleh Tracey Emin yang menggunakan katil sebagai medium untuk mendedahkan pengalaman emosi dan kehidupan peribadi.
Jika Emin mengetengahkan tema kekacauan emosi dan kerentanan diri, Hong Yi pula menumpukan kepada pengalaman berpantang, keletihan dan perubahan identiti yang dialami seorang ibu.
Melalui karya itu, beliau mencabar persepsi tradisional tentang kecantikan dan kehidupan domestik sambil menonjolkan aspek kewanitaan, kerja emosi serta pengalaman hidup yang sering tidak kelihatan.
Menurut Hong Yi, pameran tersebut lahir daripada keinginannya untuk memaparkan gambaran sebenar kehidupan selepas bergelar ibu.
“Saya mahu menunjukkan realitinya iaitu kegembiraan dan air mata, kasih sayang yang melimpah serta emosi yang bercampur-baur yang hadir dalam masa yang sama.
“Saya juga mahu memperlihatkan lipatan, perubahan dan kesan pada tubuh yang tidak pernah saya lihat sebelum ini, selain pergolakan mencari semula identiti selepas melahirkan anak.
“Harapan saya, para ibu yang datang melihat pameran ini akan mengenali diri mereka dalam karya-karya ini dan berasa bahawa mereka tidak keseorangan. Jika seorang ibu sahaja pun berasa difahami melalui karya ini, maka segala usaha ini sudah sangat bermakna,” ungkap Hong Yi.
Ketika ini, anak bongsunya baru berusia empat bulan, menjadikan pengalaman yang dipamerkan masih segar dan dekat dengan kehidupannya.
Selain My Confinement Bed, pameran itu turut menampilkan 30 karya sulaman yang dihasilkannya sepanjang tempoh berpantang sebagai catatan visual perjalanan emosi dan fizikalnya sebagai ibu baharu.
Turut dipamerkan ialah cetakan tubuh ketika hamil yang merakam memori fizikal proses mengandungkan anak, selain karya yang menggunakan elemen kerusi makan bayi sebagai simbol kepada rutin penjagaan anak yang berterusan dan sering kali tidak menentu.
Menerusi I’m a Mum?!, Hong Yi bukan sahaja menolak gambaran ideal dan romantis mengenai keibuan, malah membuka ruang perbincangan tentang beban kerja yang tidak kelihatan, pengorbanan serta cabaran emosi yang dihadapi oleh ramai wanita selepas melahirkan anak.
Dalam masa yang sama, pameran tersebut menjadi penghormatan kepada ketahanan, kekuatan dan dedikasi seorang wanita yang terus berkarya walaupun sedang melalui fasa perubahan besar dalam hidupnya.
Pameran I’m a Mum?! dibuka kepada orang ramai secara percuma.














