fbpx

Konflik Palestin-Israel: Bekalan makanan semakin kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK mengambil makanan yang disumbangkan sebuah badan kebajikan di Rafah, 30 November lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari di Semenanjung Gaza gagal mengatasi masalah kekurangan makanan yang teruk di wilayah Palestin yang terkepung itu, lapor laman berita The New Arab kelmarin.

Sebuah badan amal antarabangsa, Action Against Hunger berkata, masalah itu menyebabkan ramai orang dewasa yang kelaparan tidak dapat memberi makan kepada anak-anak mereka.

Menurutnya, makanan dalam tin di pasaran tempatan kini terhad, manakala kebimbangan semakin meningkat apabila bekalan sayur mungkin mengalami kekurangan.

“Walaupun gencatan senjata kemanusiaan membolehkan berlakunya sedikit peningkatan dalam bentuk bantuan, keadaan hidup kekal teruk dan aliran bantuan semasa tidak mencukupi untuk selatan dan utara Gaza,” kata kumpulan itu.

Ia selain itu menggesa gencatan senjata yang mendesak dan berkekalan untuk menangani keperluan kritikal 2.4. juta penduduk yang tinggal di Semenanjung Gaza.

Tambah Action Against Hunger, roti, yang merupakan makanan ruji penduduk Gaza kini semakin berkurangan atau hampir habis. 

“Gas memasak menjadi mahal sekali gus memaksa keluarga-keluarga Palestin untuk menggunakan kayu api dan apa sahaja yang ada untuk memasak makanan,” jelasnya.

Bulan lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) mengesahkan penutupan kedai roti terakhir yang beroperasi dengan kerjasama agensi itu disebabkan kekurangan bahan api.

Pegawai Serantau Action Against Hunger, Chiara Saccardi berkata, krisis makanan yang teruk dengan lebih 130 kedai roti ditutup kerana kekurangan bahan api telah menjadikan bekalan tepung turut berkurangan.

“Rakan sekerja kami melihat sendiri dan mengalaminya di lapangan. Hampir tiada makanan yang tinggal di Gaza. Keluarga-keluarga terpaksa memasak dengan membakar kayu, kotak makanan dan apa sahaja yang mereka temui,” ujarnya.

Tambahnya, air minuman kini sangat kurang dengan sumber air lain semakin tidak selamat disebabkan pencemaran daripada sisa kumbahan, air hujan dan perigi.

“Penduduk Gaza memerlukan lebih banyak makanan yang lebih berkhasiat dan air jernih untuk memasak. Mereka juga memerlukan gas dan bahan api untuk memasak.

“Bagi mengelakkan risiko kekurangan bekalan makanan, zat makanan dan kebuluran, barang-barang ini mesti sampai dengan serta-merta,” kata Saccardi.

Infrastruktur bekalan makanan di Gaza tidak lagi berfungsi apabila hanya 25 peratus kedai yang mendapat kontak WFP masih dibuka pada pertengahan November lalu, manakala yang lain telah kehabisan bahan makanan penting.

Dalam masa sama, pasar tempatan telah ditutup sepenuhnya.

Kuantiti kecil makanan yang boleh didapati pula dijual pada harga melambung tinggi dan tidak banyak digunakan kerana kesukaran untuk memasak. Ia memaksa sesetengah orang bertahan dengan satu hidangan sehari.

“Tanpa akses kepada bahan api, keupayaan kami untuk menyediakan roti atau mengangkut makanan kepada mereka yang memerlukan telah terjejas teruk. Ia menyebabkan kehidupan di Gaza terhenti dan orang ramai akan kelaparan,” kata Perwakilan dan Pengarah Negara WPF di Palestin, Samer Abdeljaber. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI