fbpx
Gambar hiasan

Renungan pun satu bentuk gangguan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIASATAN berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff sedang dilakukan.

Kejadian dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak. Gangguan seksual bukan isu baharu, malah makin membimbangkan.

Sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan polis sejak 2018 hingga Ogos 2021. Ini me­nunjukkan lebih 3,000 kes direkodkan setiap tahun.

Dalam persekitaran norma baharu, jumlah kes tidak menurun. Ini memberi cerminan kejadian itu boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, terdapat tujuh faktor menyumbang kepada perlakuan jenayah gangguan seksual.

Antaranya adalah masalah kesihatan mental, gangguan personaliti, pengalaman, persekitaran, kecenderungan rangsangan, tiada kawalan kepada media sosial dan aktiviti mempromosi diri melalui platform tersebut.

Bagi wakil Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Umi Sawiyah Ahmad pula, gangguan seksual ialah perlakuan yang kurang disenangi melalui lisan, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual berunsurkan seks dan biasanya dilakukan secara berulang-ulang.

Ini menunjukkan bahawa gangguan itu boleh merangkumi dalam bentuk sentuhan secara paksa atau renungan secara tersembunyi pada bahagian sulit, menghantar audio, gambar atau video lucah, ungkapan berbaur seksual sehingga mengekori secara terang atau sembunyi.

“Dahulu, gangguan seksual sering berlaku secara bersemuka, kini menular ke alam maya. Kaum wanita lebih kerap menjadi mangsa, lelaki tidak terkecuali.

“Kajian mendapati kanak-kanak juga jadi mangsa,” katanya.

Statistik menunjukkan daripada 1,076 kes penderaan kanak-kanak di Selangor sejak Januari hingga September lalu, 514 kes adalah gangguan seksual. Pemangsa tidak mengira umur, jantina, agama, bangsa dan status.

Menurut beliau, semua pihak perlu berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini.

“Jika sahabat kita diganggu, kita boleh mambantu walaupun bukan bergelar pakar psikologi.Wujudkan saluran komunikasi dua hala dengannya. Tanamkan kesedaran dia tidak keseorangan dalam mengharungi cabaran ini.

“Selain itu, ibu bapa wajar beri pendidikan seksual kepada anak sejak kecil lagi. Mereka perlu di­ajar bahagian anggota badan yang tidak boleh disentuh,” katanya.

Tambahnya, di tempat kerja pula, majikan perlu menyediakan persekitaran bekerja yang bebas diskriminasi dan gangguan.

Pihak majikan perlu akur de­ngan Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja yang diperkenalkan kementerian dalam mencegah, menangani dan membasmi masalah itu.

“Badan bukan kerajaan (NGO) juga harus main peranan membantu kempen advokasi.

“Ia juga menjadi salah satu saluran yang boleh dihubungi jika mangsa gangguan seksual memerlukan bantuan,” ujarnya.

Akhir sekali, rang undang-undang gangguan seksual yang lebih holistik juga wajar digubal dan dibentangkan di Parlimen.

“Ini merupakan satu intervensi yang dapat mencegah gangguan seksual dan memberi keadilan kepada semua pihak.

“Contohnya, Selangor me­nubuhkan Pusat Khidmat Krisis Sehenti yang memberi perkhid­matan menyeluruh kepada mang­sa penderaan, pemerkosaan dan keganasan rumah tangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN