BUKIT MERTAJAM – Marriott International Inc. dan Iconic Group telah memeterai perjanjian untuk memperkenalkan jenama Courtyard by Marriott melalui penjenamaan semula hotel sedia adanya iaitu Iconic Hotel Penang menjadi Courtyard by Marriott Penang Icon City.
Langkah ini mengukuhkan lagi hubungan strategik antara Marriott dengan Iconic Group, sekali gus membuktikan komitmen syarikat hospitaliti global tersebut dalam memperluas rangkaiannya di seluruh Malaysia.
Pengerusi Iconic Group, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, kerjasama ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam hubungannya dengan Marriott International.
“Berdasarkan kejayaan kerjasama terdahulu melalui Iconic Marjorie Hotel, a Tribute Portfolio Hotel, kami yakin pengenalan jenama Courtyard by Marriott di Icon City akan memberikan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia.
“Ini selaras dengan keperluan pengembara moden yang mencari keseimbangan antara produktiviti dan rekreasi dalam landskap komersial Seberang Perai yang sedang pesat membangun,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian kerjasama antara dua entiti tersebut.
![]()
Courtyard by Marriott Penang Icon City dijangka dibuka secara rasmi pada Disember 2026, susulan proses penjenamaan semula Iconic Hotel Penang yang sedia ada.
Hotel ini bakal menawarkan 196 bilik tetamu yang direka khusus untuk keselesaan pengunjung. Transformasi secara berperingkat akan dijalankan merangkumi penambahbaikan ruang awam, restoran, kemudahan rekreasi serta pusat kecergasan dan kesejahteraan.
Terletak di dalam pembangunan komersial bersepadu Icon City seluas empat hektar, hotel ini akan menjadi tumpuan utama bagi pelancong perniagaan dan santai yang mengunjungi kawasan tanah besar Pulau Pinang.
Lokasi hotel ini menawarkan ketersambungan yang cemerlang melalui Lebuhraya Utara-Selatan serta akses mudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Selain itu, ia memberikan akses terus ke koridor perindustrian utama negara termasuk Zon Perindustrian Bebas Perai, Taman Sains Pulau Pinang, Taman Perindustrian Batu Kawan dan Kulim Hi-Tech Park. Hubungan ini dijangka terus menyokong sektor pengembaraan korporat serta industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) yang semakin berkembang pesat di rantau ini.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Hotel (Asia Pasifik kecuali China) Marriott International, Andree Susilo berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan yang signifikan bagi syarikat tersebut.
“Pemeteraian ini mencerminkan komitmen kami untuk berkembang di destinasi yang mempunyai asas ekonomi yang kukuh serta permintaan pelancongan yang dinamik.
“Kerjasama berterusan dengan Iconic Group menunjukkan kekuatan hubungan yang kami bina bersama pemilik yang berkongsi visi pertumbuhan jangka panjang. Kami teruja untuk memperkenalkan salah satu jenama yang diiktiraf di peringkat global ke destinasi komersial yang sedang berkembang pesat ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














