Hilton Kuching yang terletak di lokasi strategik berhadapan Sungai Sarawak cukup ikonik dalam kalangan penduduk di Negeri Bumi Kenyalang itu selain memiliki keunikannya tersendiri untuk menarik pelancong dari Semenanjung Malaysia dan juga luar negara datang berkunjung.
Demi memenuhi trend semasa dan permintaan pasaran yang semakin bertambah, hotel yang berusia lebih daripada 30 tahun itu telah memulakan proses pengubahsuaian terbesarnya sejak mula beroperasi bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri perhotelan.
Menurut Pengurus Besar Hilton Kuching, Adrian Teh, pengubahsuaian ini dirancang lebih daripada dua tahun sebelum ini dan kerja-kerja tersebut telah bermula akhir tahun lepas, dijangkakan siap sepenuhnya menjelang separuh pertama tahun depan.

Ini akan memperlihatkan Hilton Kuching berwajah baharu dengan rekaan dalaman terbaik sebaik sahaja melangkah ke dalam premis tersebut yang bakal meninggalkan pengalaman unik buat pelanggan.
Teh berkata, usaha ini bertepatan dengan masanya untuk memenuhi pelbagai program pelancongan pada tahun depan.
“Melalui kemudahan serba canggih dan amalan mampan, Hilton Kuching bukan hanya menawarkan ruang untuk penginapan yang lebih selesa tetapi juga sebagai tempat pertemuan untuk komuniti perniagaan ke perniagaan serta perniagaan ke pengguna,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang pengubahsuaian yang dilaksanakan di Hilton Kuching?
Adrian Teh: Pelan perancangan pengubahsuaian ini telah dimulakan sejak dua tahun lalu tetapi kami baru saja memulakan kerja-kerja tersebut pada akhir tahun lepas.
Kami jangkakan ia akan berterusan dan siap sehingga suku pertama tahun depan. Terdapat beberapa fasa dan sekarang ia memasuki fasa kedua dengan melibatkan bilik dari tingkat lapan hingga ke tingkat 13.
Fasa seterusnya pula akan melibatkan pengubahsuaian kolam renang dan juga kawasan landskap di sekelilingnya menjadikan ia sebagai satu kawasan riadah, bersantai buat keluarga sambil menjamu selera di kafe berdekatan.
Adakah proses pengubahsuaian tersebut telah melibatkan penurunan jualan?
Tidak, sebab apabila kami memulakan proses pengubahsuaian ini, semua industri dan pemain baharu memulakan usaha untuk kembali pulih daripada kesan pandemik lalu dan ketika itu permintaan juga masih berkurangan.
Tetapi kini melalui perkhidmatan yang kami tawarkan, kadar jualan telah berjaya melepasi daripada prestasi jualan sebelum pandemik, kadar yang direkodkan ini adalah menggalakkan dan ia satu pencapaian yang baik buat kami.

Berapa bilik yang ditawarkan di Hilton Kuching dan berapa peratus kadar penginapan pada masa sekarang?
Keseluruhan bilik adalah sebanyak 350 unit tetapi memandangkan proses pengubah suaian sedang dijalankan, jumlah bilik yang tersedia dijual adalah sebanyak 170 unit, jadi kadar penginapannya adalah kira-kira 75 peratus.
Apa yang diketengahkan dalam pengubahsuaian kali ini?
Semua bilik telah diubah suai sepenuhnya yang menampilkan kesegaran dan ciri-ciri moden yang menempatkan perabot dan televisyen baharu, tandas juga diubah suai dan juga di unit suite memiliki televisyen yang lebih besar.
Hubungan wifi dan ketersambungan lebih pantas dan mudah. Restoran juga diubah suai dan lebih menarik gimnasium juga menerima sentuhan moden dengan memiliki pelbagai peralatan canggih bertaraf antarabangsa bagi memberi kepuasan kepada pengunjung untuk bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan mengikut minat serta kemampuan masing-masing.

Boleh jelaskan tentang bilik mesyuarat dan dewan besar yang telah dilancarkan baru-baru ini?
Kami juga baru sahaja melancarkan bilik mesyuarat yang menawarkan pemandangan panorama setiap sudut dari Sungai Sarawak dengan limpahan cahaya semula jadi dari luar.
Setiap bilik dilengkapi dengan panel TV sentuh interaktif 85 inci, keupayaan tanpa wayar dan laptop mirroring serta kemudahan terkini lain yang membolehkan mesyuarat berjalan dengan lancar. Selain itu, kami juga menawarkan pakej mesyuarat daripada standard hingga kepada premium.
Mengenai dewan Grand Ballroom Hilton Kuching, ia menggabungkan teknologi terkini dengan keindahan estetik yang menampilkan skrin LED bermotor dan pencahayaan ambien yang mampu mengubah suasana serta mood sesebuah majlis. Kemudahan ini turut digabungkan dengan kecanggihan audio visual yang diinginkan untuk sebarang acara dianjurkan di situ.
Bagaimana dengan inisiatif hotel ke arah kelestarian?
Selain daripada suasana baharu, kami tetap mengutamakan komitmen terhadap tanggungjawab penjagaan alam sekitar dalam setiap aspek bagi memastikan ia menyumbang kepada masa depan yang mampan.
Hotel ini mengelak daripada penggunaan plastik sekali pakai tetapi menggunakan botol kaca untuk semua mesyuarat dan juga acara serta memilih snek yang bebas daripada plastik sekali pakai.
Kami juga menggunakan pen dan alat tulis mesra kitar semula yang diperbuat daripada kadbod serta bilik mesyuarat juga tidak menggunakan bahan linen sekali gus mengelak daripada pembaziran air yang berkaitan dengan keperluan untuk mencuci kain di dobi.
Hotel ini telah meletakkan amalan mesra alam sekitar di seluruh operasinya iaitu daripada menggunakan sumber bertanggungjawab hinggalah menawarkan teknologi terkini yang mengurangkan penggunaan tenaga. -KOSMO! ONLINE













