fbpx

‘Saya tak sedap hati lepas tengok video Bezza terbabit kemalangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Ismail dengan arwah isteri, Allahyarham Nadzifah di tepi pantai Kuala Perlis pada semalam.

ALOR SETAR – Keterujaan seorang suami untuk menimang cahaya mata sulung berakhir apabila isterinya yang hamil lima bulan maut dalam nahas membabitkan sebuah lori tanah dan tiga kenderaan lain di Jalan Kolon, Pokok Sena di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.55 pagi itu, mangsa, Nadzifah Abu Seman, 28, bersama bayi dalam kandungan serta ibunya, Romadiah Ismail, 65, maut di lokasi akibat parah pada anggota badan.

Kemalangan berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan ke sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar untuk menziarahi kakak Nadzifah yang dimasukkan ke wad kerana sesak nafas.

Kereta Perodua Bezza dinaiki mereka dirempuh sebuah lori tanah yang terbabas.

Kejadian turut melibatkan sebuah Perodua Axia dan trak pikap Toyota Hilux yang mengakibatkan seorang wanita parah, manakala dua lelaki lagi cedera ringan.

Menurut Ismail Mohamad, 28, dia sepatutnya menghantar isteri ke pusat perubatan untuk menjaga kakaknya di wad, namun Nadzifah mahu memandu sendiri bersama ibu menggunakan kereta milik kakaknya.

“Saya pergi ke tempat kerja kira-kira pukul 9 pagi dan ketika berada di pejabat, saya menerima satu rakaman video kemalangan berdurasi dua saat daripada seorang rakan.

“Saya nampak sebuah lori terbalik dan ada kereta berwarna biru. Bila nampak kereta warna biru itu (Perodua Bezza), saya tanya kawan nombor pendaftaran tetapi dia tidak tahu.

“Saya mula berasa tidak sedap hati lalu ambil motosikal untuk ke lokasi kejadian yang hanya terletak kira-kira satu kilometer,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran barang.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan, dia menerima kiriman WhatsApp daripada kakak ipar yang memaklumkan isteri dan ibu mentuanya belum tiba di wad.

“Saya hubungi isteri dua tiga kali tetapi tidak ada jawapan sebelum teruskan perjalanan ke lokasi. Sebaik tiba, saya nampak ada dua mangsa dalam kereta Perodua Bezza, namun hanya nampak bahagian badan mereka.

“Pada masa itu, saya nampak kuku salah seorang mangsa seperti kuku ibu mertua saya. Tidak lama selepas itu, baru saya dapat pengesahan bahawa dua mangsa itu adalah isteri dan ibu mentua saya,” ujarnya.

Ismail berkata, dia hilang kata-kata dan hanya mampu melihat mayat dua insan kesayangannya yang tersepit dikeluarkan daripada kereta yang remuk akibat dirempuh lori oleh anggota bomba.

Tambahnya, pasangannya itu mengandung lima bulan dan mereka begitu teruja untuk menimang cahaya mata pada hujung April tahun depan selepas isterinya mengalami keguguran pada tahun lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI