ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil maklum rungutan orang ramai terhadap sikap segelintir peserta program RXZ Members 8.0 yang didakwa menunggang motosikal secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengguna jalan raya dan orang awam di beberapa negeri telah mula menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak berkuasa berhubung tindakan peserta yang didakwa menyebabkan kesesakan lalu lintas selain mengabaikan aspek keselamatan.
“Mereka mengatakan jalan raya sesak dan peserta berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak selamat, memandu secara melulu serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“JPJ menjaga kepentingan awam, bukan kepentingan peserta dan bukan kepentingan penganjur. Jadi kalau ada tindakan-tindakan yang membahayakan orang awam, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini hari ini.
Beliau berkata, JPJ akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan selain memanggil penganjur program permotoran menghadiri sesi libat urus bagi memberi peringatan tegas mengenai pematuhan undang-undang jalan raya.
“Selepas ini, sekiranya masih berlaku perkara sama, kita tidak akan menyokong program ini untuk diadakan lagi. Kita mahu memastikan peserta berhemah di jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain tidak marah kepada peserta-peserta,” ujarnya.
Menurut Aedy Fadly, setiap penganjuran program perhimpunan motosikal termasuk himpunan RXZ lazimnya mendapatkan pandangan serta nasihat daripada JPJ dan Polis Diraja Malaysia sebelum ia dilaksanakan.
“JPJ tidak pernah menghalang penganjuran program permotoran selagi ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Mana-mana peserta yang tidak patuh, termasuk mengubah suai kenderaan secara tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan tindakan tanpa kompromi yang mana itu kita telah mulakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














