KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan ke sembilan, Datuk Ismail Lasim mengumumkan esok (Isnin) sebagai cuti umum peristiwa di negeri itu sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan proses demokrasi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ismail berkata, pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti hari ini.
“Sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan dan sebab itu saya menghadap baginda sebentar tadi. Baginda turut berkenan untuk saya mengumumkan cuti umum peristiwa esok (Isnin) di Negeri Sembilan.
“Cuti ini adalah sebagai penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan proses demokrasi pilihan raya di negeri ini. Ramai yang masih letih dan sebagainya, jadi esok kita beri peluang untuk berehat,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis tersebut di Seri Menanti, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














