fbpx
JOSEPH menyatakan pihaknya menerima 35 kes along membabitkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura.

Rakyat Malaysia bekerja di Singapura ‘lubuk duit’ along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menjadi sasaran baharu along kerana dianggap sebagai lubuk duit sehingga tiada jalan keluar untuk bebas daripada cengkaman lintah darat tersebut.

Ia berlaku ekoran mereka menerima mempunyai pendapatan tetap dalam Dolar Singapura (SGD) selain kemampuan untuk membayar hutang.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash mendedahkan, sebahagian besar peminjam bukannya berhutang untuk bermewah-mewah tetapi terdesak bagi memenuhi keperluan harian sebelum menerima gaji berikutnya.

Katanya, pekerja di Singapura tiada pilihan selain terpaksa me­minjam along untuk belanja ha­rian, sewa rumah, ansuran kende­raan atau perbelanjaan keluarga.

“Walaupun dapat gaji SGD, mereka tetap mempunyai komitmen bulanan yang perlu ditanggung. Apabila berlaku kecemasan atau wang tidak mencukupi sebelum hari gaji, mereka mengambil jalan mudah dengan mendapatkan pinjaman daripada along.

“Situasi itu menyebabkan sebahagiannya terperangkap dalam kitaran hutang apabila pendapatan bulanan yang di­terima akhirnya habis digunakan untuk membayar hutang terdahulu,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Joseph, keadaan itu menyebabkan mereka tiada duit untuk meneruskan kehidupan sehingga terpaksa membuat pinjaman baharu.

Tambahnya, lebih membimbangkan apabila seorang mangsa bukan sekadar berhutang de­ngan seorang along, sebaliknya boleh terjerat dengan lima hingga enam sindiket ceti haram dalam satu-satu masa.

“Along pertama suruh bayar, mereka pinjam daripada along kedua. Lepas itu pinjam lagi daripada along ketiga untuk tutup hutang kedua.

“Begitulah berulang kali sehingga ada mangsa mempunyai hutang dengan lima atau enam along serentak. Sedangkan peringkat awal hanya pinjam sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan jumlah hutang terus meningkat melebihi empat kali ganda kerana setiap pinjaman baharu hanya digunakan untuk menampung hutang lama.

“Setakat ini kita merekodkan sekurang-kurangnya 35 kes membabitkan penduduk Johor yang bekerja di Singapura dan mendapatkan bantuan selepas terjerat dengan pinjaman along. Mereka ini berulang-alik dan menerima gaji dalam SGD,” katanya.

Ujar Joseph, berdasarkan pemerhatian PKIPN, sindiket along mengenal pasti golongan berpendapatan SGD kerana menganggap mereka mempunyai sumber kewangan tetap serta lebih berkemampuan untuk melunaskan pinjaman.

Katanya, walaupun bekerja di Singapura dengan pendapatan dalam mata wang lebih tinggi, keadaan itu tidak bermakna mereka bebas daripada tekanan kewangan.

“Persepsi pekerja di Singapura hidup mewah juga tidak tepat kerana mereka masih berdepan pelbagai komitmen kewangan ekoran perlu menanggung kos pengangkutan harian, pinjaman rumah, ansuran kenderaan serta keperluan keluarga,” katanya.

Menurut Joseph, ramai melihat mereka kaya mendapat gaji SGD sedangkan along tidak nampak komitmen yang mereka tanggung setiap bulan.

Tambah beliau, faktor kadar pertukaran mata wang yang lebih tinggi menyebabkan penerima gaji SGD dilihat sindiket sebagai ‘pelanggan’ berpotensi kerana dianggap mampu membayar semula pinjaman.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa situasi itu memerlukan perhatian serius terutama pihak berkuasa kerana trend berkenaan semakin ketara dalam kalangan penduduk Johor yang bekerja di negara jiran.

Pesannya, pekerja Malaysia di Singapura yang berdepan masalah kewangan perlu mendapatkan bantuan awal dan tidak memilih pinjaman tidak berlesen sebagai jalan penyelesaian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN