fbpx
KENDATI sudah lama dalam industri, Nora tidak meninggi diri malah terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pelakon yang benar-benar mempunyai minat mendalam dalam bidang seni.

Nora Danish tolak tawaran berlakon demi keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAMPIR mustahil jika ada pencinta dunia hiburan tidak mengenali figura cantik bernama Nora Danish.

Kemasyhuran dan kestabilan kehidupan yang diraih sepanjang bergelar anak seni bukan lagi satu perjudian.

Waktu bergulir, agak lama sebenarnya kelibat pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif itu tidak muncul mewarnai segmen lakonan naskhah televisyen atau pawagam.

Bukan kerana mulai sendu, sebaliknya wanita kacukan Arab dan Myanmar itu sendiri memilih untuk memperlahankan rentak karier dek kekangan masa dan komitmen buat keluarga.

Keluarga paling utama

Belum meletakkan noktah terhadap kerjaya lakonan, aktres berusia 41 tahun itu mengakui masih dihujani tawaran, namun banyak faktor yang perlu difikirkan.

Masa bersama keluarga berada di hadapan, sehingga akhirnya dia terpaksa menolak banyak tawaran secara baik.

JARANG muncul di kaca televisyen mahupun drama, Nora mengakui banyak tawaran yang datang namun terpaksa menolak kerana komitmen lain dan ingin fokus luangkan masa dengan keluarga.

“Bukan memilih tetapi saya banyak komitmen lain, bimbang saya tidak boleh beri 100 peratus kerjasama sebab fokus utama adalah keluarga, tidak mahu nanti menyusahkan produksi.

“Saya dapat banyak tawaran tetapi kena pertimbangkan banyak benda seperti lokasi dan masa. Jadi agak terikat dari segi pemilihan naskhah yang ditawarkan.

“Dalam keadaan ini, masa saya banyak habis dengan keluarga. Orang kata biar kita lihat anak membesar depan mata tapi memang saya akui, saya kini tidak begitu aktif,” ujarnya.

Meskipun kelibatnya jarang dilihat dalam arus perdana, jadual ibu kepada dua orang anak itu tetap padat dengan tugasan belakang tabir serta platform dalam talian seperti menjadi duta untuk kempen dan iklan.

“Saya aktif belakang tabir seperti menjadi duta kepada platform e-dagang dan untuk kerja itu sahaja, saya selalu pergi Bangkok untuk penggambaran iklan dan kempen platform tersebut.

“Kebanyakannya saya buat kerja-kerja begitu, maksudnya tidak mengganggu banyak masa saya dengan keluarga, kalau berlakon pasti semua sudah maklum, durasinya sangat panjang.

“Tetapi mahu kata saya sengaja perlahankan karier sebab sudah tidak mahu berlakon itu tidak benar.

“Lakonan sentiasa dekat dengan jiwa saya bahkan boleh dikatakan sudah serasi dan sebati,” ujar Nora.

Pendatang baharu

Bergelar senior dalam kalangan ramai pelakon baharu tidak sedikit pun membuatkan Nora berasa perlu mendabik dada hingga enggan bergaul.

Dia sebaliknya terbuka untuk berlakon dengan sesiapa sahaja.

Kata pelakon yang sinonim dengan drama Puteri itu, tidak dinafikan ramai pendatang baharu memiliki bakat lakonan luar biasa selain tidak bergantung harap pada rupa paras.

“Saya tak pernah terfikir untuk sombong dengan pelakon baharu malah sangat terbuka untuk berlakon mahupun bekerjasama dengan bakat-bakat muda.

“Ada beberapa kali saya berlakon dengan pelakon baharu contohnya Meerqeen dalam telefilem Kluster.

“Di mata saya, kalau tak menang pertandingan Hero Remaja pun, saya percaya Meerqeen boleh naik.

“Dia seorang yang sangat hormat orang dan boleh bergaul dengan siapapun. Pendek kata pandai bawa diri,” katanya.

Begitupun, wanita kecil molek itu sempat menitipkan pesan kepada pelakon baharu agar sentiasa membumi meskipun karier semakin melangit supaya perjalanan karier dipermudahkan dan disenangi ramai pihak.

“Saya percaya bahawa seseorang artis itu sama ada baharu atau lama, wajar tahu harga diri dan menjaga reputasi kerja dengan baik.

“Disiplin kena jaga, jangan datang lambat dan buat perangai. Kena tahu kita sebagai pelakon melibatkan ramai pihak bukan sahaja pelakon lain tetapi pengarah dan kru produksi, jangan susahkan kerja mereka.

“Kalau kerja dengan sutradara Aziz M Osman, makan pun dia suruh sama-sama dengan semua orang di set, dia mahu kita belajar merendah diri walau artis itu tahap popular macam mana sekalipun,” ujar Nora serius.

NORA mengakui menyimpan impian malah teruja untuk berlakon dan berada dibawah pengarahan Aaron Aziz kerana belum pernah digandingkan bersama dalam mana-mana naskhah sebelum ini.

Enggan terlalu larut dalam isu masa dan pelakon baharu, Nora sempat memberitahu dirinya bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Sayu Yang Syukur bawah arahan pelakon prolifik, Datuk Aaron Aziz.

Meskipun telah menjalani penggambaran sekitar lapan tahun iaitu sekitar 2015, Nora bersyukur akhirnya filem berkenaan bakal ditayangkan penghujung tahun ini.

Kompleks, emosi mendalam

Kata Nora, sememangnya sudah lama dia menyimpan hasrat bergandingan dengan Aaron Aziz , apatah lagi dalam filem bergenre romantik.

Begitupun, aktress itu mengakui bahawa watak Liana yang digalasnya dalam naskhah tersebut sangat kompleks dan menuntutnya untuk larut dalam emosi, namun pada masa sama perlu menjaga dinamik lakonan.

“Saya tak pernah berlakon dengan Aaron dalam mana-mana naskhah dan ditambah pula dengan garapan skrip yang cukup berbeza dengan apa yang saya bawa sebelum ini.

“Jujurnya saya memang nak sangat berlakon dengan Aaron sebab kalau cerita-cerita romantis ini, ramai setuju yang dia adalah antara pelakon hebat dan selalu ‘menjadi’ contohnya filem Ombak Rindu.

“Namun saya akui watak saya dalam karya ini bukan mudah, terlalu banyak tuntutan emosi, tetapi saya suka sebab naskhah ini tidak klise, sarat pengajaran dan plot twist,” kata Nora.

Paling penting kata Nora, Sayu Yang Syukur merupakan sebuah naskhah yang bagus dan wajar dipertontonkan kepada pencinta filem tanah air yang sudah lama kehausan karya romantik berkualiti.

Selain Nora dan Aaron Aziz, filem Sayu Yang Syukur dibintangi Arja Lee, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan ramai lagi.

Filem kedua arahan Aaron Aziz itu juga bakal menemui penonton pada 28 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN