fbpx

Aman Palestin perlu bersikap lebih profesional, beri kerjasama siasatan – MCW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) secara tegas dan tanpa prejudis meminta Aman Palestin bersikap lebih profesional serta memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan tanpa gangguan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW percaya bahawa pihak SPRM bertindak berdasarkan data dan fakta.

Katanya, pihaknya memandang serius terhadap telahan wujud konspirasi dalam isu ini.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak Aman Palestin sentiasa mengamalkan tadbir urus bersih dan akauntabiliti yang baik dalam setiap operasi mereka.

“Pada pemerhatian kami, tindakan mencabar proses siasatan dalam kes ini, seolah-olah wujud agenda lain yang tersembunyi atau ada perkara yang tidak mahu didedahkan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, merujuk kenyataan Tan Sri Azam Baki, pembekuan akaun bank tersebut dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan langkah biasa dalam siasatan rasuah.

“SPRM juga sudah bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah, justifikasi tindakan pembekuan 41 aset Aman Palestin Berhad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

Tambahnya, Aman Palestin yang mendakwa bahawa mereka adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah 18 tahun memperjuangkan hak kemanusian sewajar lebih matang dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini.

“Biarkan SPRM teruskan siasatan ini dengan tegas dan adil. Jangan mencabar atau mengugat keadilan,” ujarnya.

Jais berkata, siasatan SPRM tanpa sebarang tekanan perlu dilaksanakan demi membanteras penindasan terhadap rakyat Malaysia.

Semalam, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.

Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

Terdahulu, SPRM membekukan sebanyak 41 akaun bank bernilai RM15.86 juta milik pertubuhan itu dan beberapa entiti syarikat lain ekoran terdapat dakwaan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI