fbpx
Zulkarnain bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

NGO gesa SPRM siasat semula kes penyelewengan RM1.5 bilion Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semula siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum rasmi kepada pihak SPRM bagi membuka semula kertas siasatan.

Katanya, ia berkaitan dakwaan penyelewengan membabitkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Jelasnya, memorandum itu meminta SPRM meneliti semula beberapa projek pembangunan luar bandar Sabah termasuk projek bekalan air Pulau Gaya yang masih menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

“Perkara yang dibangkitkan membabitkan wang rakyat dalam jumlah yang besar. Apabila wang rakyat menjadi persoalan, maka rakyat berhak menuntut jawapan,” katanya di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata, memorandum yang diserahkan turut disertakan dengan pelbagai laporan media, dokumen sokongan dan bahan rujukan berkaitan isu berkenaan bagi membantu pihak berkuasa meneliti semula kes tersebut.

Menurut Zulkarnain, beliau bukan individu baharu yang membangkitkan perkara itu kerana dirinya pernah membuat laporan kepada SPRM pada 2016 dan 2017 berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah.

Tambahnya, SPRM pernah menjalankan siasatan terhadap projek pembangunan luar bandar Sabah melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya ketika bekas menteri itu menjawat jawatan dari 2009 hingga 2015.

“Menurut laporan media ketika itu, projek yang disiasat melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion manakala siasatan tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion.

“Untuk rekod, Mohd. Shafie juga pernah ditahan reman oleh SPRM pada Oktober 2017 bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut,” katanya.

Namun begitu, katanya, keputusan untuk tidak meneruskan kes berkenaan dibuat selepas pertukaran kerajaan pada 2018 meskipun siasatan yang dijalankan sebelum itu bersifat menyeluruh dan mendapat perhatian meluas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN