fbpx

Kenyataan fitnah: Fadhlina beri 48 jam kepada Ahli Parlimen Jasin, Harakahdaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (kiri), Zulkifli (kanan).

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menghantar notis tuntutan terhadap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan Harakahdaily berhubung kenyataan berbaur fitnah yang disiarkan baru-baru ini.

Menerusi surat tuntutan yang dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Ibrahim & Fuaadah semalam, kedua-dua pihak tersebut diberikan tempoh selama 48 jam untuk menarik balik artikel berkenaan.

Artikel itu adalah berhubung dakwaan terdapat arahan dikeluarkan Menteri Pendidikan supaya takbir dan bacaan doa Qunut Nazilah tidak dibenarkan semasa penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara.

Fadhlina dalam tuntutan itu mahu siaran berkenaan ditarik balik daripada semua platform mereka dan permohonan maaf perlu dibuat tanpa syarat seperti diluluskan peguam dalam rempoh 48 jam daripada penerimaan surat berkenaan.

Mereka juga dituntut memberikan aku janji dan jaminan bertulis untuk tidak akan menyiar dan menyebar apa-apa pernyataan fitnah terhadap Fadhlina serta membayar ganti rugi RM500,000 bagi kecederaan terhadap reputasi dan nama baik menteri terbabit.

Sekiranya tuntutan itu gagal dilaksanakan, Fadhlina menerusi peguamnya akan meneruskan tindakan undang-undang tanpa notis selanjutnya.

Melalui surat itu juga, Fadhlina menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan untuk membuat bacaan Qunut Nazilah atau takbir bagi sambutan itu.

Sementara itu, Fadhlina dalam kenyataan berkata, tujuan saman tersebut dibuat bagi memelihara maruah dan membersihkan fitnah yang tersebar.

“Sehingga kini tiada usaha untuk meminta maaf atau menjelaskan perkara sebenar dari pihak yang menuduh.

“Budaya politik fitnah ini berbahaya dan mampu merosakkan bangsa kita. Kita perlu berpolitik secara membina dan menunjukkan contoh yang baik kepada generasi kedepan,” katanya.

Fadhlina berkata, walaupun telah dijelaskan berkali-kali yang KPM tidak mengeluarkan arahan menghalang takbir dan Qunut Nazilah di sekolah namun fitnah itu terus tersebar.

Selain itu katanya, tindakannya menyaman Ahli Parlimen berkenaan ialah kerana pihak terbabit tidak menggunakan peluang untuk bertanya di dalam Parlimen.

“Dalam banyak-banyak orang bercakap kononnya wujud larangan takbir dan Qunut Nazilah ini, kita saman ahli parlimen.

“Kenapa? Sebab beliau memiliki floor untuk bertanya di dalam dewan, bukannya bercakap di luar tanpa usul periksa untuk mempertikaikan akidah atau menjadi sentimen ini di luar,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI