fbpx
Tangkap layar yang mengaitkan MAIS berhubung dakwaan fitnah melibatkan seorang individu daripada sebuah NGO.

Kertas siasatan fitnah MAIS di AGC, tunggu arahan lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kertas siasatan berhubung dakwaan fitnah pemilik akaun aplikasi TikTok terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kini berada di Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada individu terlibat yang merupakan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, sebarang tindakan lanjut adalah menunggu arahan daripada AGC.
“Polis telah melengkapkan siasatan dan telah edarkan dan kini berada di AGC untuk keputusan dan arahan selanjutnya.

“Jadi, saya meminta masyarakat untuk bersabar sementara mendapat keputusan daripada AGC,” katanya ketika ditemui pada Larian Diraja Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat di sini, hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerima laporan daripada MAIS pada 16 April lalu.

Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa kandungan video tersebut adalah fitnah kerana melemparkan tuduhan rasuah serta penggunaan imuniti istana yang dilihat sengaja dibuat bagi menjejaskan imej pihak MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Sebelum itu, MAIS menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman fitnah terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Jalan USJ 18/7, Subang di sini.

Setiausaha MAIS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini memaklumkan, pihaknya memandang serius penularan sebuah video di TikTok pada Isnin lalu yang mengaitkan kononnya berlaku isu tunggakan bayaran serta salah urus melibatkan MAIS dalam projek berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN