PETALING JAYA – Dakwaan mengenai peningkatan kos pengurusan kematian masyarakat Cina sehingga mencecah puluhan ribu ringgit didakwa menjadi antara faktor segelintir individu memilih memeluk Islam sebelum meninggal dunia terutama warga tua.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna media sosial, Jacob Chai menerusi video di TikTok yang menarik perhatian ramai netizen sehingga meraih lebih 1.9 juta tontonan dalam tempoh tiga hari.
Menurutnya, kos pengurusan kematian masyarakat Cina ketika ini semakin tinggi susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Ramai orang Cina masuk Islam dan jadi mualaf sebab kos orang Cina mati semakin tinggi dan mahal. Harga barang semakin mahal, maka orang Cina yang sudah berumur dan tua akan pilih masuk Islam sebab tidak mahu susahkan keluarga dan anak-anak,” katanya.
Jacob mendakwa terdapat juga individu yang dipengaruhi ahli keluarga untuk memeluk Islam bagi memudahkan urusan pengebumian selain mengurangkan beban kewangan waris.
Katanya, masyarakat Cina mempunyai dua kaedah utama pengurusan kematian iaitu pembakaran mayat dan pengebumian di tanah perkuburan.
“Kalau bakar guna api, kos lebih murah sekitar RM20,000 hingga RM50,000. Kalau tanam dalam kubur pula lebih mahal sebab perlu beli tanah dan tengok feng shui, kos boleh cecah RM50,000 hingga RM100,000,” ujarnya.
Tambahnya, kos tersebut dijangka terus meningkat setiap tahun sehingga membebankan sesetengah keluarga terutama golongan berpendapatan sederhana.
Menurut Jacob, pengurusan jenazah bagi umat Islam pula dilihat lebih mudah kerana kebiasaannya dilakukan segera selain dibantu pihak masjid, surau atau badan kebajikan.
“Kalau peluk Islam sebelum mati, urusan lebih mudah sebab ada pihak bantu dari awal hingga selesai.
“Orang Islam meninggal dunia pada hari tersebut, hari sama juga akan ditanam. Tidak seperti kaum lain yang perlu simpan mayat,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan perkongsian pempengaruh terkenal, Low Sok Ying berkenaan kos dan pakej yang disediakan untuk menguruskan kematian orang Cina.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, pempengaruh itu berkata, kos berkenaan meliputi pakej asas tiga hari dua malam.
“Pakej ini bukan pakej pergi tidur hotel (bercuti), tetapi ia pakej untuk menguruskan mayat tersebut sebab orang Cina dia akan simpan mayat. Pakej pengebumian biasa harganya sekitar RM43,700, tetapi kalau tempah awal sebelum mati dia (pakej) itu adalah diskaun jadi RM35,000
“Apa yang termasuk dalam pakej ini adalah ambil jenazah dari hospital, simpan dan solekkan jenazah, keranda kayu yang cantik, tempahan dewan majlis pengebumian, bacaan doa oleh sami, kenderaan untuk hantar jenazah ke kubur, urusan surat mati dan bakar jenazah serta abu bekas mayat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@jacobchai57 Pov: First time buat live #malaysia #tiktoklive #viral #fyp #jacobchai ♬ QKThr – Aphex Twin














