fbpx

Tema ‘Hak Kami, Masa Depan Kami’ angkat martabat kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendidikan merupakan salah satu daripada hak setiap kanak-kanak yang perlu dipenuhi. -Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tema Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 iaitu ‘Hak Kami, Masa Depan Kami’ dilihat sebagai inisiatif terbaik untuk mengangkat martabat kanak-kanak yang mana tumpuan kepada kebajikan dan kehidupan golongan itu ditingkatkan.

Dalam konteks ini, Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 di Holiday Villa Johor Bahru City Centre di Johor Bahru pada hari ini (20 November) bakal menjadi manifestasi memperaku, mempromosi dan meraikan hak kanak-kanak yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan berkesan.

Sambutan itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri selain pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan kepada pengunjung.

Antara aktviti menarik ditawarkan adalah penganjuran persembahan, aktiviti kanak-kanak, taklimat, penyampaian anugerah dan perasmian.

Aktiviti interaktif kanak-kanak berkonsepkan cita-cita juga di­pilih sebagai medium kanak-kanak mengekspresikan harapan mereka.

Nancy Shukri

Seringkali kita melihat kanak-kanak tidak mendapat hak perkembangan disebabkan kemudahan prasarana, kemiskinan dan peluang untuk memperkasakan bakat.

Jadi, program itu akan melibatkan kanak-kanak daripada institusi kanak-kanak JKM, Jabatan Kanak-kanak di Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK), Majlis Perwakilan Kanak-kanak (MPKK) dari seluruh negara serta keluarga dalam komuniti setempat.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM), Norazman Othman berkata, Malaysia turut meratifikasi ins­trumen antarabangsa iaitu Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) yang telah dilaksa­nakan pada 17 Februari 1995.

“Sebagai sebuah negara yang mengguna pakai CRC, Malaysia mempunyai obligasi untuk mematuhi prinsip dan peruntukan sebagaimana termaktub dalam konvensyen ini yang memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak.

“Empat perkara utama digariskan di dalam CRC iaitu kelang­su­ngan hidup (survival), perlindu­ngan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) kanak-kanak,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Norazman menjelaskan, keperluan utama bagi kanak-kanak adalah melin­dungi mereka daripada semua bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Katanya, ia juga melibatkan usaha membimbing tingkah laku mereka bagi mengekang salah laku serta perbuatan jenayah sei­ring dengan Hak Kanak-Kanak di bawah CRC.

Perkembangan dan penyertaan kanak-kanak antara perkara utama yang digariskan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Tema dipilih itu menjadi satu manifestasi untuk memperaku, mempromosi dan meraikan hak kanak-kanak yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan berkesan di mana akhirnya menjadi paksi untuk kehidupan kanak-kanak lebih sejahtera.

“Malangnya, ramai kanak-kanak di seluruh dunia masih menghadapi pelbagai cabaran termasuk isu perubahan iklim, pendidikan, kesihatan mental, kemiskinan, pepe­rangan, perkauman, diskriminasi dan sebagainya.

“Ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kanak-kanak dan wajarlah mereka lantang bersuara mengenai perkara ini untuk masa hadapan yang le­bih baik dan saksama,” tegas beliau.

Dalam pada itu, bercakap ­me­ngenai objektif Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Tahun 2023, Norazman berkata, ia sebagai memberi penghormatan kepada kanak-kanak.

“Ia juga menggalakkan pe­­n­yertaan kanak-kanak dalam aktiviti sihat dan bermanfaat serta memainkan peranan dalam membantu kerajaan menangani isu-isu semasa negara.

“Kami memberi rangsangan kepada kanak-kanak untuk memperkasa modal insan mampan dalam kapasiti menyeluruh serta memperkata bakat, idea dan memperkukuh nilai jati diri dalam kanak-kanak,” ujarnya.

Untuk rekod, Hari Kanak-Kanak Sedunia telah mula disambut di Malaysia pada 8 Oktober 1960 bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur iaitu sebaik sahaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkannya sebagai hari untuk persaudaraan sejagat dan kefahaman dalam kalangan kanak-kanak seluruh dunia.

Pelaksanaan Hari Kanak-kanak kali ini bukan hanya tertumpu kepada majlis sambutan sahaja, sebaliknya jabatan akan membuka ruang dan peluang kepada kanak-kanak seluruh negara dan institusi JKM untuk mengambil bahagian.

Bagi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak, anugerah itu akan disampaikan semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2023.

Antara anugerah terlibat ialah Anugerah Pingat Hang Tuah (Individu), Anugerah Kanak-kanak Gemilang (Sukan), Anugerah Kanak-kanak Gemilang (OKU) dan Anugerah Kanak-kanak Gemilang (Kebudayaan serta Kesenian). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI