fbpx
Tangkap layar video tular tersebut yang dimuat naik pengguna Facebook, Tok Tuah Channel Haziq semalam.

[VIDEO] ‘Jangan tunggu jadi tragedi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan individu bermain dan mandi-manda di kawasan aliran air deras berhampiran sebuah struktur kawalan air mengundang kebimbangan orang ramai selepas rakaman tersebut tular di media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik pengguna Facebook, @Tok Tuah Channel Haziq, beberapa kanak-kanak dilihat berada di tengah-tengah aliran air yang deras sambil memanjat struktur konkrit di kawasan berkenaan.

Pemilik hantaran itu turut meluahkan kebimbangan terhadap tindakan berisiko tersebut.

“Aku harap ini yang pertama dan terakhir la. Benda belum jadi memang kata tak ada apa, bila dah jadi, menyesal pun dah tak guna,” tulisnya.

Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai berbahaya dan boleh mengundang kejadian tidak diingini.

Menurut mereka, aliran air deras di kawasan seperti itu mempunyai arus yang sukar dijangka selain permukaan yang licin sehingga boleh menyebabkan seseorang tergelincir dan dihanyutkan air.

“Ramai ambil mudah sebab nampak cetek, tapi bila kaki tersangkut atau tergelincir, arus deras boleh tarik dalam sekelip mata. Jangan tunggu tragedi baru nak menyesal. Nak salahkan sana sini,” kata seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna, @Nurul Ezatie Baderi berkata, keadaan aliran air yang deras itu sendiri sudah cukup menggerunkan dan berharap teguran diberikan kepada kanak-kanak terbabit dapat dijadikan pengajaran.

“Tengok air itu pun seram. Budak-budak memang tak boleh fikir panjang, mereka nampak seronok sahaja. Terima kasih kerana menegur mereka, harap masuk dalam kepala dan diingat betul-betul.

“Harap ibu bapa pantau anak-anak. Moga tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagi pengguna, @Are Nies pula berpendapat tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada kanak-kanak serta ibu bapa mereka.

“Bahaya sangat. Kalau saya, memang suruh polis angkut budak-budak itu. Biar jadi pengajaran kepada mereka dan ibu bapa sekali supaya lebih peka memantau anak-anak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN