SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas jatuh dan tidak sedarkan diri sebaik keluar dari kolam di taman tema air, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh secara sendiri selepas keluar dari kawasan kolam sebelum berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.
“Dia rebah semasa berjalan selepas keluar dari kolam.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, siasatan tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil memberi kerjasama dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Zul Irfan Omar di talian 017-5393648 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang kanak-kanak tidak sedarkan selepas terjatuh dalam kejadian di taman tema air tersebut.
Menerusi satu hantaran di media sosial, kanak-kanak itu dipercayai turut diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital. – KOSMO! ONLINE














