PETALING JAYA – Tindakan segelintir ibu bapa dan penjaga dipercayai memperalatkan anak-anak kecil untuk meminta sedekah di jalanan mengundang kemarahan orang ramai selepas beberapa video mengenainya tular di media sosial.
Perkara itu didedahkan menerusi beberapa rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Lahad Datu Photography, yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak dipercayai warga asing berkeliaran di kawasan awam sekitar Lahad Datu sambil meminta wang daripada orang ramai.
Lebih menyedihkan, sebahagian daripada kanak-kanak tersebut dipercayai masih berusia sekitar dua tahun namun sudah dibiarkan merayau tanpa pengawasan sewajarnya bagi mendapatkan sumbangan.
Berdasarkan rakaman berkenaan, golongan dewasa yang dipercayai ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit dilihat hanya menunggu di tepi jalan, melepak dan berkumpul di beberapa lokasi sementara anak-anak mereka merayau bagi meminta wang ihsan.
Menurut pemilik akaun berkenaan, situasi tersebut bukanlah perkara baharu malah didakwa berlaku hampir setiap hari di beberapa kawasan sekitar Lahad Datu.
“Apa sudah jadi? Ibu dia santai-santai. Anak sekecil itu mereka pergunakan untuk meminta duit,” tulisnya.
Apa yang lebih membimbangkan, video sama turut memaparkan beberapa kanak-kanak dipercayai menghisap gam yang disimpan di dalam plastik.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna media sosial melahirkan rasa kecewa serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung kelakuan golongan tersebut.
“Mencacatkan imej nama baik Malaysia dan permandangan kawasan-kawasan bandar di seluruh negeri dengan pelarian Rohingya ini. Nak tanya mana perginya penguat kuasa?,” kata Arifin Isa.
“Memang kesian. Yang bagi tu tak tapi seolah-olah itu hak mereka untuk dapatkan duit untuk hidup sampai tak mahu berusaha dari yang bayi sampai yang tua,” komen Hadaria.
“Macam ini salah siapa?,” soal Melon Mariam. – KOSMO! ONLINE














