IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Pusat Rehabilitasi NeuroRobotik dan Sibernik Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya di sini dengan memasyhurkannya sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin dalam titah perasmian fasiliti itu berkata, pusat itu bukan sekadar kompleks yang dilengkapi peralatan moden lagi canggih tetapi dihebatkan dengan tenaga pakar dalam bidang-bidang perubatan dan kesihatan, teknologi bantuan serta fisioterapi.
Selain itu, titah baginda, ia turut merangkumi terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial dan sokongan psikologi yang diadun dalam ekosistem yang bersepadu.
“Pusat ini tidak sekadar sebuah kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan satu penghijrahan pemikiran, penghijrahan pendekatan, merealisasikan wawasan dan hasrat negara mahu mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi ke tahap yang lebih maju dan berteknologi tinggi.
“Diperkukuhkan dengan perkhidmatan yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan menghayati nilai keinsanan.
“Wawasan dan hasrat negara ini jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat khususnya warga pekerja,” titahnya pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat pada majlis sama ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
Sementara itu, titah Sultan Nazrin, pusat itu harus dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga.
“Simbol bahawa musibah bukan noktah terakhir kepada kehidupan, simbol bahawa dengan sistem yang betul, masyarakat yang peduli dan peluang yang disediakan, seseorang insan tidak perlu hidup atas ihsan bantuan orang lain tetapi boleh kembali membina masa hadapan yang bermaruah,” titahnya.
Mula dibina pada 2 Mei 2022, fasiliti yang menelan belanja hampir RM1 bilion di atas tanah seluas 15.5 hektar itu siap sepenuhnya dalam tempoh hampir empat tahun merangkumi 13 blok utama termasuk kemudahan penginapan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pusat rehabilitasi itu akan menjadi hab terbesar di rantau ini dan pusat kecemerlangan bagi rehabilitasi serta Program Return To Work (RTW) di peringkat global.
”Antara kemudahan canggih yang disediakan termasuk perkhidmatan neuro-robotik dan sibernik yang menggunakan teknologi Cyberdyne Hybrid Assistive Limb, Metamotus Galileo Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform, dan Advanced Movement Analysis Laboratory,” katanya.
Selain itu, katanya, iatermasuklah Traditional and Complementary Medicine Centre (TCMC) serta Motorcycle Safety Training Track (MSTT) di bawah Centre for Applied Prevention in Social Security (CAPSS).
Fasiliti terbesar di Asia Tenggara itu sekali gus menjadi mercu tanda baharu dan pemangkin dalam bidang perubatan rehabilitasi negara.
Antara ciri istimewa pusat berkenaan ialah pembinaannya yang menggabungkan elemen warisan budaya Perak menerusi seni kraf Tekat Timbul Benang Emas serta reka bentuk futuristik moden. – KOSMO! ONLINE














