fbpx
Gambar hiasan.

9 juta pencarum Perkeso dilindungi 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih sembilan juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, skim Lindung 24 Jam ini memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

“Pelaksanaan skim bawah Perkeso ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada, tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.

“Bagi individu yang baharu diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem Perkeso,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramanan berkata, caruman Lindung 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.

Untuk permulaan, katanya, kadar caruman bagi Lindung 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim ini kepada Perkeso pada setiap bulan.

“Pembayaran caruman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan perlindungan tanpa gangguan, di samping memudahkan pematuhan oleh majikan dan pekerja.

“Menerusi skim Lindung 24 Jam, Perkeso memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, serta Faedah Orang Tanggungan.

”Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work, serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris,” katanya.

Beiau berkata, perluasan perlindungan ini adalah selari saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa serta amalan terbaik antarabangsa dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.

Katanya, usaha terbaharu dirintis Perkeso menjadikan jaringan keselamatan sosial di Malaysia kini lebih menyeluruh, dinamik dan relevan dengan realiti semasa pasaran buruh.

“Selain itu, ia menyokong aspirasi Malaysia Madani dalam menjamin kebajikan serta kesejahteraan tenaga kerja negara,” katanya.

Sebarang permohonan faedah boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal Lindung Faedah di pautan https://lindungfaedah.perkeso.gov.my/ atau hadir terus ke pejabat Perkeso berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN