fbpx
Skim Pengembara merupakan penyelesaian konkrit terhadap perjuangan membela nasib lebih 400,000 pekerja Malaysia di Singapura. - GAMBAR HIASAN

Tiga tahun perjuangan kini terbela melalui Skim Pengembara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Segala jerit perih dan usaha tanpa henti selama tiga tahun oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 1thirdMedia Movement akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan bersetuju memperkenalkan Skim Pengembara.

1thirdMedia Movement dalam kenyataan berkata, inisiatif ini merupakan penyelesaian konkrit terhadap perjuangan membela nasib lebih 400,000 pekerja Malaysia di Singapura yang selama ini mengharungi cabaran tanpa perlindungan sosial yang komprehensif.

“Keprihatinan dan maklum balas proaktif daripada kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuktikan bahawa kebajikan rakyat Malaysia di perantauan kekal menjadi agenda nasional.

“Kejayaan ini juga merupakan hasil kerjasama erat dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia (HiCom) di Singapura,” katanya.

1thirdMedia Movement turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wakil HiCom, Datuk Indera Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Noor Haryantie Noor Sidin yang menjadi tulang belakang dalam menyelaras serta menguruskan siri rundingan penting antara pihak NGO serta kementerian.

“Komitmen yang diberikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, yang telah meneliti setiap isu kritikal yang dibangkitkan oleh wakil persatuan NGO ini wajar diberi pujian.

“Langkah proaktif untuk menghantar wakil turun padang bagi mendengar sendiri rintihan serta aspirasi pekerja Malaysia di Singapura merupakan satu anjakan paradigma yang amat bermakna. Inisiatif ini bukan sekadar satu gerak kerja rasmi, malah ia memberikan sinar baharu serta harapan kepada komuniti pekerja kita di perantauan bahawa kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menambah, penghargaan sama wajar diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, atas komitmen Perkeso dalam memastikan tiada kelompangan dalam perlindungan sosial biarpun dibatasi sempadan geografi.

Sesi tersebut telah berjaya membuka ruang dialog yang telus, sekali gus memastikan warga Malaysia yang mencari rezeki di Singapura memahami bahawa perlindungan sosial adalah tunjang utama kesejahteraan masa depan mereka.

Terdahulu, usaha berterusan ini telah melalui beberapa fasa rundingan strategik bagi memastikan suara pekerja di lapangan diangkat ke peringkat tertinggi:

  • 29 Oktober 2024: Pertemuan sulung bersama pimpinan tertinggi Kesuma
  • 13 Disember 2024: Mesyuarat strategik secara dalam talian melibatkan Perkeso, 1thirdMedia Movement dan HiCom Singapura bagi memperincikan kerangka perlindungan sosial.
  • 23 Februari 2026: Sesi Libat Urus pemantapan program bagi memuktamadkan solusi praktikal, khususnya buat golongan pekerja harian (daily commuters).
  • 6 April 2026: Sesi Libat Urus bersama Perkeso dengan pihak berkepentingan di Singapura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN