KOTA TINGGI – Sepasang kekasih warga Singapura rentung selepas kereta Ferrari dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 57.5 Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Yeo Tian Wen Leong, 34, dan Ng Puay Ying, 33, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kemalangan maut itu yang melibatkan kenderaan jenis Ferrari dipandu lelaki warga asing bersama seorang penumpang wanita.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan tersebut terbabas sendiri sebelum terbakar.
“Dalam kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kedua-dua mayat telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan. Kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














