SEBERANG PERAI – Seramai 1,346 daripada 5,030 penagih yang dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini mengalami dual diagnosis, iaitu ketagihan dadah serta masalah kesihatan mental.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata ia menjadi cabaran baharu kepada agensi berkenaan berikutan peningkatan pengambilan dadah sintetik bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malah memberi kesan terhadap kestabilan mental pengguna.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu apabila hanya 548 daripada 9,361 penagih atau enam peratus direkodkan mengalami dual diagnosis.
“Dual diagnosis maksudnya bukan sahaja mereka ketagih, tetapi mereka juga mengalami masalah mental. Itu satu cabaran kita untuk menangani sebab kita tahu fokus utama kita adalah memberi rawatan kepada masalah penagihan dadah. Tetapi sekarang masalah baharu timbul adalah mereka turut mengalami masalah mental,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, Kampung Titi Merdeka yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di sini, hari ini.
Jelasnya, antara masalah mental yang dikesan dalam kalangan penagih terbabit termasuk kemurungan, keadaan hampir berhalusinasi serta gangguan yang menyebabkan mereka tidak stabil dari segi emosi dan pemikiran.
Katanya, ia perlu diberi perhatian serius berikutan terdapat kecenderungan dalam kalangan mereka untuk mencederakan diri sendiri termasuk mempunyai risiko melakukan tindakan membahayakan nyawa akibat kesan halusinasi.
“Peningkatan dual diagnosis itu banyak dikaitkan dengan penggunaan dadah sintetik yang semakin meningkat di negara ini, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Berdasarkan rekod AADK, kadar penagihan dadah sintetik kini mencapai 73 peratus daripada keseluruhan kes penagihan, dengan majoritinya melibatkan bahan jenis ATS (amphetamine-type stimulant) seperti syabu, pil kuda dan ecstasy. -KOSMO! ONLINE














