KOTA BHARU – Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala di sini dengan kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dan penduduk setempat bergotong-royong memasak 30 kawah bubur Asyura sempena Majlis Gotong-Royong Kaca Syuro di sini hari ini.
Setiausaha Masjid Imanul Fa’izin atau lebih dikenali sebagai Masjid Andalusia, Mohamad Rozi Abdullah berkata, pihaknya menggunakan sebanyak 300 kilogram daging tempatan untuk memasak juadah tersebut.
Katanya, pihak masjid bersama penduduk menggunakan mesin elektrik untuk memasak 30 kawah bubur Asyura bagi memudah dan mempercepatkan perjalanan majlis itu.
“Penggunaan mesin elektrik itu sebagai percubaan untuk memudahkan kaedah memasak. Sekiranya rasa dan kualitinya baik, kita akan gunakan kaedah itu atau membeli sendiri mesin berkenaan untuk penganjuran majlis pada tahun depan.
“Sebanyak dua kawah bubur Asyura sudah siap dimasak menggunakan mesin elektrik pada malam tadi dan hasilnya baik selain tempoh memasak juga cepat,” katanya pada Majlis Gotong-Royong Kaca Syuro di Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin turut menyertai penduduk bergotong-royong memasak 30 kawah bubur Asyura di masjid tersebut.
Mohamad Rozi memberitahu, program memasak bubur Asyura itu merupakan kali keempat dianjurkan dan peruntukan yang diberikan oleh Andalusia meningkat untuk majlis tersebut meningkat setiap tahun.
Menurutnya, kesemua bubur Asyura akan diagihkan kepada penduduk di 30 buah kampung di Parlimen Ketereh. – KOSMO! ONLINE














