fbpx
AMIRUL dan isterinya, Ratna Zuzilianty menunjukkan pencuci mulut yang dijual di Pontian Night Market di Bandar Pontian.

Lepaskan gaji RM5,000 pilih jual pengat dan bubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Demi mengejar impian berniaga dan meluangkan lebih masa bersama keluarga, seorang lelaki sanggup mening­galkan kerjaya tetap sebagai penolong pengurus dengan gaji RM5,000 sebulan untuk menjual pengat dan bubur tradisional.

Amirul Shafiq Suhaimi, 35, berkata, keputusan dibuat selepas lima tahun dia bertugas di sebuah syarikat logistik di Pasir Gudang sebelum mengusahakan perniagaan Minum Petang 3 Nenek bersama isteri, Ratna Zuzilianty Zulkifli, 34, Julai lalu.

“Ketika bekerja di Pasir Gudang, anak-anak saya tinggal bersama keluarga di Taman Damai, manakala isteri bekerja sebagai pegawai akaun di Pontian.

“Saya mahu berada lebih dekat dengan keluarga dan pada masa sama memberi tumpuan kepada perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui di Pontian Night Market (PNM), Lorong Cendol, di sini baru-baru ini.

Amirul memilih menjual pe­ngat dan bubur selepas jemaah Masjid Al-Hijrah, Taman Damai memuji keenakan pencuci mulut itu ketika jamuan di masjid berkenaan.

Antara menu yang ditawarkan ialah pengat pisang, labu, ubi kayu dan keladi, bubur jagung, cha cha, pulut hitam, kacang hijau serta terigu.

Katanya, nama 3 Nenek begitu dekat di hatinya kerana dia dibesarkan dan dijaga oleh tiga nenek termasuk pengasuh sejak kecil.

Malah, cara penyediaan pe­ngat dan bubur turut dipelajari daripada mereka bertiga mempunyai kepakaran dalam menyediakan juadah tradisional Melayu.

“Saya mampu memperoleh pendapatan RM250 hingga RM300 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan dan cuaca pada hari tersebut.

“Saya harap perniagaan ini akan terus berkembang dan dapat membuka gerai tetap, jadi lebih ramai orang dapat merasai juadah tradisional Melayu,” katanya.

Amirul membuka gerai di PNM dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam, setiap Sabtu dan Ahad. Lelaki itu turut membuka warung di depan rumah­nya di Lorong Dua, Taman Damai dari pukul 2 petang hingga 7 malam, Rabu hingga Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN