fbpx
Perkahwinan pasangan Bella dan Syed Saddiq serta sambutan luar biasa terhadap naskhah KUDRAT: High Council menjadi contoh dua obsesi luar biasa khalayak terhadap budaya popular masa kini.

Benda trending, sekali ‘hembus’ berduyun datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU dunia hiburan sudah menjadi makanan dalam kehidupan masyarakat hari ini biarpun adakala tanpa disedari. Apabila menyentuh soal selebriti atau isu panas, hampir semua orang berasakan diri ada ruang dan kelayakan bersuara.

Itulah kuasa ‘human interest’ yang menjadikan dunia hiburan sentiasa dekat dengan kehidupan khalayak. Lumrahnya manusia memang tertarik kepada sesuatu yang hebat, popular dan sedang menjadi sebutan.

Tidak ramai yang mahu ketinggalan dalam gelombang trending, walaupun sekadar mahu tahu bahangnya. Memerhatikan perkembangan dunia hiburan mutakhir ini, ada dua fenomena yang cukup menarik diulas.

Lihat sahaja sensasi perkahwinan Syed Saddiq dan Bella Astillah sehingga majlis kenduri rakyat mereka di Sabah diserbu lebih 20,000 pengunjung. Di Johor sebelum itu, sekitar 15,000 orang telah hadir.

Terfikirkah, apa faedahnya mak cik dan pak cik yang sanggup meredah perjalanan beratus-ratus kilometer semata-mata mahu hadir ke kenduri ‘anak menantu’ media sosial mereka itu?

Pastinya bukan soal makan kenduri, sebaliknya peluang melihat, merakam momen, berswafoto atau sekurang-kurangnya berkongsi bukti bahawa mereka turut berada dalam peristiwa yang sedang menjadi bualan, yang mungkin akan diingati 10 atau 20 tahun akan datang.

Zaman ini, pengalaman tidak lagi cukup sekadar dirasai sebaliknya dikongsi dan dipertontonkan. Setidak-tidaknya untuk sekeping foto, rakaman video InstaStory atau TikTok.

Menariknya, fenomena ini menguntungkan banyak pihak. Pengaruh Bella dan Syed Saddiq meluas, manakala penaja keperluan majlis turut memperoleh publisiti.

Fenomena kedua yang tidak kurang hebatnya adalah KUDRAT 1968: High Council. Momentum kali ini lebih membahang berbanding Projek: High Council (2023).

Selepas empat siri premium, kejayaan versi filem yang dilaporkan meraih kutipan RM12 juta dalam tempoh empat hari tayangan memperlihatkan keberkesanan pendekatan ‘one story, two formats’, strategi sebuah cerita merentasi dua medium itu berjaya mengekalkan perhatian dan memperkukuhkan hubungan emosional peminat dengan karakter yang sudah dikenali.

Ulasan negatif tidak berkudis menjejaskan keterujaan pemujanya. KUDRAT tetap laris, para pelakonnya jadi dambaan.

Muncul sahaja pada apa jua sesi promosi, jeritan peminat, khususnya wanita, membuktikan betapa kuatnya rasukan Abbas, Pa, Piji, Mazli dan Kuda terhadap mereka.

Bayangkan, budak sekecil darjah empat pun sudah menunjukkan gejala ‘FOMO’, ada yang merayu mahu bertemu Abbas, karakter yang dianggap paling hero.

Dua fenomena ini memperlihatkan satu persamaan yang menarik. Khalayak bukan sekadar mahu mengetahui apa yang sedang berlaku, tetapi mahu turut berada di tengah-tengah peristiwa itu.

Itu barangkali itulah wajah budaya popular hari ini. Minat dan obsesi tidak salah, selagi tidak melampaui batas.

Namun, dalam keghairahan mengejar perkara yang sedang menjadi sebutan, wajar juga kita bertanya, adakah kita benar-benar tertarik kerana minat atau sekadar ikut-ikutan enggan tertinggal ketika semua orang sedang teruja?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN