MERSING – Penyandang dua penggal berturut-turut Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib berdepan perlawanan empat penjuru bagi merebut kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Johor kali ini.
Alwiyah calon Barisan Nasional (BN) menentang calon Pakatan Harapan (PH), Saiful Nizam Samat, calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Jati awang dan calon Perikatan Nasional (PN), Hasnul Hakimi Hussin.
Terdahulu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Alwiyah sebagai calon muka baharu bagi BN di DUN Endau dan berjaya menewaskan calon PKR dan PAS.
Tidak lama selepas kemenangan tersebut Alwiyah bersama beberapa ADUN UMNO Johor membuat keputusan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Alwiyah juga berjaya membantutkan hasrat BN untuk merampas kembali kerusi DUN Endau pada PRN Johor ke-15 apabila berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 3,041 undi menewaskan empat calon lain.
Bagaimanapun pada awal Jun lalu Alwiyah mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan peletakan semua jawatan di dalam BERSATU dan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta untuk kembali menyertai UMNO.
Statistik data pengundi terkini bagi DUN Endau mencatatkan jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di kawasan berkenaan adalah seramai 28,767 orang.- KOSMO! ONLINE














