fbpx
RAMLAN (tengah) mengadakan sidang akhbar pada Hari Penamaan Calon sempena PRN ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri semalam. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

PRN Johor: 172 calon berentap rebut 56 kerusi DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 bakal menyaksikan persaingan sengit apabila seramai 175 calon daripada pelbagai parti politik dan calon bebas disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 11 Julai depan.

Lebih menarik, PRN kali ini turut menemukan pertembungan generasi apabila calon termuda dan tertua mencuri perhatian dalam senarai pencabar pilihan raya negeri tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon termuda ialah Danish Hossman Abd Rahman daripada Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di DUN Johor Lama pada usia 23 tahun.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Lim Chin Eng berusia 73 tahun pula menjadi calon paling berusia yang bertanding pada PRN kali ini bagi kerusi DUN Stulang.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) dan PH masing-masing meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala PN pula bertanding di 33 kerusi.

Selain tiga gabungan utama itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) meletakkan 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) empat calon manakala Parti Orang Asli Malaysia (Asli) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon.

“Selain itu, seramai enam calon bebas turut disahkan bertanding pada PRN Johor kali ini,” katanya dalam sidang akhbar Urusan Penamaan Calon PRN Johor Ke-16 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

PRN Johor kali ini turut menyaksikan pelbagai corak persaingan dengan 14 kerusi DUN menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Sebanyak 27 kerusi pula menyaksikan saingan tiga penjuru, manakala 12 kerusi akan melibatkan pertandingan empat penjuru.

Lima lagi kerusi DUN pula dijangka menjadi tumpuan apabila menyaksikan saingan lima penjuru yang berpotensi memecahkan undi dan mencetuskan persaingan lebih sengit.

Ramlan berkata, tempoh berkempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan calon selesai dilakukan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai depan.

Menurut beliau, SPR turut menubuhkan sebanyak 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Pada 12 Jun lalu, SPR mengumumkan seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi bagi PRN Johor Ke-16 berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini sehingga 31 Mei lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN