fbpx
Ruslin ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

Usia 15 tahun sudah terjebak dadah sintetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik apabila mencatatkan 84 peratus daripada keseluruhan penagih bahan tersebut.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana golongan berkenaan merupakan aset penting negara yang sepatutnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, kebanyakan penagihan dadah sintetik membabitkan jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi yang semakin meluas dalam kalangan pengguna.

“Dadah sintetik ini semakin dilihat sebagai sebahagian gaya hidup segelintir belia kerana mudah diperoleh dan memberi kesan yang lebih cepat berbanding dadah tradisional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, Kampung Titi Merdeka,” katanya di sini, hari ini.

Beritahu Ruslin lagi, pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong golongan belia terjebak dengan penyalahgunaan dadah, selain masalah keluarga, konflik rumah tangga serta tekanan emosi.

Katanya, negeri-negeri Pantai Timur turut mencatatkan kadar penagihan tertinggi khususnya membabitkan pengambilan pil kuda, namun negeri Pantai Barat juga tidak terkecuali dengan kadar yang tinggi.

“Di Pantai Timur, pil kuda dan syabu menjadi antara dadah utama berbanding dadah lain seperti heroin atau ganja yang lebih rendah penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan penggunaan dadah sintetik turut menjadi cabaran baharu kepada AADK kerana pendekatan rawatan sebelum ini lebih tertumpu kepada dadah tradisional.

“Modul rawatan dan pemulihan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk menangani kaitan penyalahgunaan dadah sintetik dengan penggunaan vape dalam kalangan belia,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN