PETALING JAYA – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara kini boleh mula memohon pembiayaan menerusi Kemudahan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF) bernilai RM5 bilion yang disediakan oleh Bank Negara (BNM) bermula semalam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, di bawah program itu PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar faedah atau keuntungan maksimum 3.75 peratus setahun.
Katanya, kemudahan tersebut akan disalurkan menerusi 18 institusi kewangan yang mengambil bahagian termasuk Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan SME Bank di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Senarai 18 institusi kewangan yang terlibat dalam SME SRF.
1. Bank Rakyat
2. SME Bank
3. Maybank
4. CIMB Bank
5. Public Bank
6. RHB Bank
7. Bank Islam
8. Bank Muamalat
9. Hong Leong Bank
10. AmBank
11. Alliance Bank
12. Affin Bank
13. Agrobank
14. Bank Simpanan Nasional
15. OCBC Bank
16. HSBC Bank
17. Standard Chartered Malaysia
18. UOB Malaysia
“PMKS boleh memohon pembiayaan ini mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026 atau sehingga keseluruhan peruntukan pembiayaan berjumlah RM5 bilion digunakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Kuskop menggesa semua institusi kewangan terlibat supaya mempercepat proses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan di bawah SME SRF dengan prosedur lebih pantas, fleksibel serta mesra PMKS.
Katanya, langkah itu penting agar bantuan dapat disalurkan segera kepada perusahaan yang memerlukan dan terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Kuskop turut berharap institusi kewangan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada PMKS dengan mengambil pendekatan lebih inklusif dan praktikal dalam menilai permohonan pembiayaan, khususnya melibatkan perusahaan mikro dan perniagaan kecil,” ujarnya.
Beliau berkata, dana baharu RM5 bilion daripada BNM serta tambahan RM5 bilion dalam bentuk jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menjadikan keseluruhan peruntukan dan dana bagi sektor PMKS tahun ini meningkat daripada RM50 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 kepada RM60 bilion.
Tambahnya, peningkatan itu menunjukkan tekad Kerajaan Madani untuk terus menyokong sektor PMKS negara supaya lebih berdaya saing walaupun berdepan krisis bekalan tenaga dunia. – KOSMO! ONLINE














