fbpx

Aset TNB siap sedia hadapi musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan janakuasa bergerak (mobile genset) TNB telah disiapkan untuk tindakan segera dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa apabila diperlukan bagi mengurangkan kesan banjir di kawasan yang terjejas.

PETALING JAYA – Sebagai persediaan menghadapi musim monsun timur laut kali ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyediakan 247 set janakuasa mudah alih, 279 unit lori dan 38 buah bot.

Malah kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, pihaknya turut menyediakan 296 set janakuasa bergerak dan 885 unit kenderaan pacuan empat roda sepanjang musim tengkujuh yang bermula 11 November lalu sehingga Mac tahun depan.

Beliau berkata, warga kerja teknikal TNB yang terlibat dengan tugas-tugas penghentian sementara dan penyambungan serta pemulihan bekalan pula akan diberikan dengan 108 unit lampu limpah (flood lights) serta 10 unit telefon satelit.

“Kami juga telah meneruskan pelbagai tindakan seperti peningkatan tapak pencawang dan pemasangan penghadang banjir (flood barrier).

“Kami juga melaksanakan penandaan aset untuk memudahkan pemantauan perubahan arah aliran (trend) banjir demi meningkatkan pengurusan bencana banjir atau mengurangkan kerosakan pada pepasangan TNB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Nazmy berkata, TNB juga bersedia untuk membuka bilik gerakan dan menggerakkan pasukan di kawasan yang terjejas sekiranya berlaku banjir.

Katanya, lokasi-lokasi strategik yang tidak mungkin ditenggelami air pula akan dijadikan tapak sebagai stor sementara, pusat peralatan ujian dan pusat pengagihan
kerja.

“Petugas bilik gerakan dan barisan hadapan TNB juga berada dalam situasi siap siaga. Kami turut mengenal pasti sistem yang memerlukan keutamaan untuk tindakan penutupan dan pengasingan bekalan.

“Selain itu, perancangan awal telah dibuat untuk pergerakan set janakuasa bergerak dan mudah alih ke kawasan-kawasan strategik,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

“Pengguna yang mengalami pemutusan bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk menghubungi TNB di talian 15454 atau melalui Facebook TNB Careline untuk mendapat bantuan dan tindakan susulan TNB.

“Pasukan Bertindak Kecemasan TNB yang beroperasi 24 jam sedia untuk menyambung semula bekalan elektrik yang terputus dengan kadar segera,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI