fbpx

DUN Selangor: Tiang banyak, lampu tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham ketika menjawab pertanyaan lisan pada sidang DUN Selangor, hari ini.

SHAH ALAM – Kecurian kabel menjadi punca utama banyak lampu tidak bernyala dan hanya tinggal tiang sahaja sehingga menyukarkan pengguna jalan raya di Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, jenayah curi itu berlaku di semua tempat dengan pemasangan kabel tersebut mengambil tempoh masa yang lama.

“Masalah lampu jalan adalah menggunakan kabel. Apabila kabel dicuri sebab itu banyak tiang namun lampu tiada.

“Sebenarnya setiap jalan sudah ada lampu kerana ini termasuk dalam aspek pembinaan jalan raya. Jadi, hendak tampung lampu-lampu ini, kita laksanakan Program Pencahayaan Lampu Jalan Jenis Solar LED di Selangor,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sallehen Mukhyi (PN – Sabak) sama ada masalah lampu jalan disebabkan ketiadaan peruntukan, tiada maklumat atau menunggu giliran untuk pemasangan.

Bagaimanapun, Izham tidak menyatakan secara spesifik jumlah kerugian yang dialami susulan kejadian curi itu dan purata bulanan jenayah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan berkenaan turut menjelaskan, pelaksanaan pemasangan lampu jalan solar diod pemancar cahaya (LED) hasil daripada maklumat daripada pusat khidmat, ahli majlis dan persatuan penduduk.

“Kecurian kabel ini memang masalah besar. Keperluan kita bagi lima tahun sekali adalah memerlukan bajet untuk menggantikan bateri. Itu sahaja diperlukan urusan lampu solar ini,”katanya.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan sebanyak 790 batang tiang lampu solar LED dengan 120 watt dipasang di bawah program pencahayaan lampu tersebut dengan jumlah kos sebanyak RM5.97 juta.

“Purata pemasangan lengkap bagi sebatang tiang lampu ini adalah RM7,565.

“Kriteria pemilihan lokasi adalah tiada punca bekalan kuasa, kawasan vandalisma dan kerap berlaku kemalangan, simpang terpencil dan di luar kawasan rentis Tenaga Nasional Berhad,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI