fbpx
RAMESH (tengah) dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

Ketua Geng Rames dihadapkan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames antara Januari 2024 hingga 4 Disember tahun lalu.

Tertuduh, G. Ramesh, 37, mengangguk faham sebaik pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, S. Shatish.

Mahkamah membenarkan tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sungai Petani.

Kosmo! pada 25 Mei lalu melaporkan seorang lelaki yang dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang berjaya ditahan menerusi Op Tiga yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, suspek merupakan ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang dipercayai aktif di kawasan Sungai Division, Sungai Petani dekat sini.

Menurutnya, tangkapan dibuat pada 22 Mei lalu berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 25 Mac lepas. Suspek turut disenaraikan di bawah Notis Merah (Red Notice) Interpol yang dikeluarkan pada 24 April lalu.

Tangkapan itu dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand ketika suspek berada dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh membabitkan dua kejadian berasingan di Padang Serai dan Bedong sekitar Februari dan Ogos 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN