fbpx

Banjir: Penduduk dinasihat ambil langkah wajar, patuh arahan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Semua penduduk terutama yang berada di kawasan berisiko banjir digesa mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda.

Beliau berkata, pihak juga menyarankan agar penduduk yang berada kawasan yang mudah terkesan banjir untuk merujuk maklumat terkini dari sumber yang sahih.

“Hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini telah menyebabkan beberapa kawasan-kawasan rendah dinaiki air selain paras air sungai utama juga menunjukkan trend menaik.

“Sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi bilangan negeri yang terkesan banjir kekal di tiga buah negeri dimana enam daerah iaitu di negeri Perak, Selangor, dan Pahang masih terjejas.

“Seramai 881 orang mangsa daripada 237 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berada di 12 buah pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga pukul 6.00 pagi ini terdapat tiga sungai yang bacaan airnya berada diparas bahaya.

“Kawasan yang terlibat ialah di, Kampung Sri Paya : Sungai Pontian Besar Kulai, Johor Bahru, Changkat Jong : Sungai Perak Hilir Perak, Bangi Lama : Sungai Langat dan Hulu Langat, Selangor.

“Malah pada pukul 7.30 pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 6 hingga 8 November ini,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan analisis model cuaca tersebut, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku dikebanyakkan tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutamanya pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh ramalan.

“Saya berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,” tambahnya.

Sementara itu, orang ramai boleh dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir atau boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI