fbpx

Mahkamah: Bekas CEO kekal dijel 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE), Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, kekal dipenjara lima tahun seperti hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram masing-masing berjumlah RM1.57 juta serta RM1.1 juta.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin selepas menolak rayuan akhir Nor Badli selaku perayu.

Dalam penghakimannya ketika panel-panel menolak rayuan itu, Vazeer Alam berkata, dapatan Mahkamah Sesyen dan Tinggi terhadap kes itu sebelum ini tidak memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

“Selain itu, hakim bicara mempunyai kelebihan audio dan video dalam membuat penemuan fakta,” katanya.

Sementara itu, peguam Nor Badli Munawir, Datuk K. Kumaraendran ketika dihubungi media mengesahkan perkara berkenaan.

Untuk info THHE pernah menjadi syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji.

Sebelum ini, Nor Badli, 57, telah dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen yang berjalan serentak bagi tiga tuduhan pecah amanah dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman penjara kepada lapan tahun sebelum Mahkamah Rayuan mengurangkan kembali kepada lima tahun seperti yang diputuskan Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, Nor Badli didakwa melakukan pecah amanah membabitkan tiga cek bernilai RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Menara UOA, Bangsar, antara April dan Oktober 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Nor Badli Munawir juga dituduh menerima wang tunai RM570,000 dan RM600,000 daripada seorang pengarah sebuah syarikat di sebuah restoran di Ara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, pada 26 Jun 2013 dan 11 September 2013.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI