fbpx

Mahkamah: Peguam dibenar cabar kredibiliti saksi penting kes Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh M.Firdaus M.Johari/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan dibenar oleh Mahkamah Sesyen di sini untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi penting pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad ketika siasatan sebuah kes di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau selanjutnya mengarahkan pihak pendakwaan membekalkan salinan pernyataan Zarul Ahmad yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja di Shah Alam.

“Saya mengarahkan keseluruhan pernyataan itu diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan saya meneliti sama ada wujud percanggahan atau sebaliknya.  Jika wujud percanggahan, barulah salinan pernyataan itu dibekalkan kepada pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad,” ujar beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini untuk sebutan kes bagi perkembangan penyerahan pernyataan tersebut dan menentukan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi boleh diteruskan, atau sebaliknya.

Pada 24 Oktober lalu, pihak pembelaan memohon mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau yang juga saksi pendakwaan ke-23 (SP23). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI