fbpx

Penyewa terkejut vila ditempah mesra alam ‘ghaib’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan pemuda tersebut terkejut apabila mendapati penginapan yang disewa sebenarnya sebuah vila terbiar. – TikTok

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan kejadian misteri dialami sekumpulan rakan yang terkejut apabila mendapati vila yang disewa menerusi internet sebenarnya sebuah rumah terbiar dipenuhi semak-samun, lapor portal berita Okezone semalam.

Kejadian tersebut berlaku di Puncak, Bogor, wilayah Jawa Barat.

Menurut kumpulan tersebut, mereka menggunakan laman web untuk membuat tempahan vila tersebut berbanding menggunakan aplikasi tempahan online.

“Gara-gara tempah pakai laman web dan tidak menggunakan aplikasi online,” demikian menurut keterangan video yang tular di platform TikTok itu.

Sejurus tiba di penginapan yang dituju, mereka terkejut apabila mendapati penginapan tersebut merupakan sebuah vila terbengkalai dikelilingi semak-samun.

Vila tersebut juga mempunyai jarak yang amat jauh dari pintu masuk selain rumah tersebut hampir tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh pokok dan semak-samun.

Kumpulan tersebut juga didengari bertanya antara satu sama lain sama ada rumah itu adalah lokasi yang sebenar.

Namun, mereka mengaku tidak berani untuk turun di situ.

Disebabkan keliru dan ketakutan, kumpulan tersebut akhirnya membatalkan hasrat mereka untuk menginap di vila itu selain tidak menemui penjaganya.

Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.

“Konsep vila ini adalah bersatu dengan alam, alam ghaib,” kata seorang netizen secara berseloroh.

“Bagaimana anda boleh menempahnya (vila)? Tidakkah anda membaca ulasan penyewa lain?” soal netizen lain. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI