fbpx
Citra Kadok Hotel menjadi pilihan perantau sekiranya mahu menikmati penginapan hotel dengan citarasa kampung.

Hotel jadi pilihan kedua perantau balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jika inap desa atau homestay telah habis ditempah golongan perantau, berlainan pula dengan hotel apabila masih banyak kekosongan biarpun sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Di Kota Bharu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Kelantan, Mas Diyah Jemain berkata, kebanyakan perantau menempah inap desa terlebih dahulu dan hotel dijadikan pilihan kedua.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ahli-ahli persatuan, hotel-hotel di Kelantan masih mempunyai bilik kosong sepanjang tempoh tersebut.

“Berbeza dengan inap desa apabila kebanyakan penginapan sudah penuh. Kebanyakan perantau yang memilih inap desa mahu ciri-ciri penginapan sama seperti di rumah mereka selain boleh menempatkan ramai ahli keluarga.

“Penginapan di hotel pula lebih bersifat privasi dan menjadi pilihan perantau yang tidak mempunyai ramai ahli keluarga. Selain itu, kedudukan hotel di bandar yang jauh dari kampung antara faktor perantau memilih inap desa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mas Diyah yang merupakan pemilik Citra Kadok Hotel & Banquet Hall (Citra Kadok Hotel) memberitahu, faktor harga sebuah bilik hotel yang sama dengan sebuah rumah inap desa juga menjadikan antara faktor penginapan tersebut dipilih.

“Kebolehcapaian (accessibility) sesebuah inap desa itu kepada perantau lebih mudah berbanding hotel atau hotel bajet di Kelantan.

“Tempahan hotel semakin bertambah pada minggu kedua Ramadan berbanding inap desa yang sudah dicari perantau sebelum bulan puasa lagi,” ujarnya.

Hotel menjadi pilihan kedua perantau selepas tempahan inap desa penuh.

Di Ipoh, Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata, trend menginap di homestay dan Airbnb menjadi antara punca hotel bajet dibawah kendalian 75 ahli masih ‘sunyi’.

“Keadaan memang tak menggembirakan ketika ini kerana masih banyak bilik hotel belum ditempah. Selain trend menginap di homestay, orang ramai juga suka melakukan tempahan pada saat-saat akhir,” ­katanya.

Zamari berkata, secara purata hotel bajet di Perak mempunyai sekitar 60 buah bilik dengan harga ditawarkan ialah bermula RM78 hingga RM128 bergantung kepada lokasi.

Katanya yang juga Setiausaha Agung MyBHA, diharap tahun ini kira-kira 80 peratus hotel bajet di Perak ditempah perantau berbanding tahun lalu tempahan bilik sekurang-kurangnya 90 peratus.

Sementara itu, di Melaka, Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri berkata, setakat ini kira-kira 60 peratus bilik hotel tersebut telah ditempah sejak awal bulan ini.

“Tempahan bagi minggu mantai dan minggu pertama Aidilfitri telah penuh, manakala minggu kedua juga dijangka penuh,” katanya.

Tambahnya, tempahan bagi minggu kedua kebiasaannya didorong oleh kehadiran pelancong luar yang mengambil peluang bercuti sempena musim perayaan di negeri bersejarah itu.

Situasi sama juga berlaku di Johor Bahru, apabila bilik hotel di bandar-bandar utama dilaporkan masih mempunyai kekoso­ngan, meskipun sambutan Aidilfitri hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Pengusaha hotel memaklumkan, trend tempahan ketika musim perayaan kebelakangan ini lebih bersifat last minute apabila kebanyakan tetamu hanya membuat pengesahan dalam tempoh tiga hingga tujuh hari sebelum tarikh penginapan.

Pengarah Pemasaran SKS Hospitality, Abel Nelson Nang berkata, berdasarkan laporan kadar tempahan di empat hotel kendilian SKS Group iaitu Fives Johor Bahru City Center (JBCC), Fives Meldrum, Fibes DNP dan Amansari Hotel Desaru setakat semalam masih mempunyai bilik kosong untuk dihuni sepanjang tempoh hari raya nanti.

Tambahnya, situasi itu bagaimanapun bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan ramai pelanggan menunggu pengesahan cuti atau perancangan keluarga sebelum membuat keputusan menempah bilik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN