KEMAMAN – Seorang wanita warga emas tidak menang tangan untuk menyiapkan lebih 12,000 biji ketupat palas yang ditempah pelanggan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Teh Mamat, 61, berkata, dia yang dibantu anak sulungnya, Aznida Awang Kechik, 43, bertungkus lumus menyiapkan sekurang-kurangnya 1,000 biji ketupat palas setiap hari sejak awal minggu ini.
“Setiap hari, sebanyak 20 kilogram (kg) beras pulut dan lebih tujuh kg santan diperlukan bagi menghasilkan 1,000 ketupat palas berkenaan.
“Saya dan anak (Aznida) memulakan kerja membuat ketupat palas seawal pukul 8 pagi dan hanya selesai pada lewat petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pauh, di sini semalam.
Teh yang belajar membuat ketupat palas daripada arwah kakak iparnya kira-kira 30 tahun lalu berkata, proses mengarong iaitu mengaul pulut siap ditanak dengan santan segar merupakan bahagian paling penting dalam pembuatan ketupat palas.
Ibu lapan anak serta mempunyai lapan cucu itu berkata, pulut perlu digaul rata dan sebati dengan santan menggunakan sudip.
“Ia bertujuan menjadikan ketupat palas dihasilkan bukan sahaja rasa berlemak dan enak malah tahan lebih lama. Pulut yang sudah diarong barulah dibungkus dengan daun palas sebelum dikukus semula sehingga masak,” katanya.
Teh berkata, ketupat palas buatannya mampu tahan sehingga dua tahun jika disimpan di dalam peti sejuk dan setakat ini, tempahan ketupat palas diterimanya bukan sahaja dari pelanggan sekitar daerah ini malah Pahang, Kuala Lumpur dan Johor.
“Sebelum ini, pernah salah seorang pelanggan saya mengepos ketupat palas saya untuk dinikmati anaknya yang bekerja di Arab Saudi,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Zamri Ibrahim, 45, berkata, keenakan ketupat palas Teh menyebabkan dia sekeluarga tidak sabar menikmatinya dengan menjadikannya sebagai juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan ini tanpa menunggu pagi raya.














