IBADAH korban merupakan antara syiar penting dalam Islam yang dilaksanakan setiap tahun pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik.
Amalan yang diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim AS ini bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan seorang hamba kepada Allah SWT.
Dalam kehidupan moden hari ini, ibadah korban turut membawa mesej besar berkaitan pengurusan kewangan, disiplin menabung dan tanggungjawab agama.
Menurut Profesor di Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli, korban bukan sahaja ibadah fizikal, malah mempunyai nilai spiritual dan sosial yang mendalam.
Katanya, isu peningkatan kos korban sering menjadi rungutan masyarakat kerana harga lembu, kambing dan haiwan ternakan semakin mahal, terutama bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Keadaan itu menyebabkan ada yang memilih untuk tidak melaksanakan korban atas alasan kewangan, namun pengorbanan harta sebenarnya merupakan inti utama dalam ibadah korban.
“Jika sesuatu ibadah dapat dilakukan tanpa pengorbanan, maka hikmah dan nilai spiritualnya akan semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sehubungan itu, Mohd. Anuar mencadangkan budaya menabung dijadikan sebagai langkah praktikal bagi memastikan umat Islam mampu melaksanakan korban setiap tahun.
Menurutnya, menabung sejak awal tahun hijrah dilihat sebagai satu bentuk perancangan kewangan yang bijak dan sistematik kerana dapat mengurangkan beban pembayaran sekali gus.
“Pendekatan tersebut juga relevan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan komitmen kewangan yang pelbagai.
“Secara tidak langsung, amalan menabung untuk korban mampu mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dalam mengurus wang demi tujuan ibadah,” ujarnya.
Selain itu, Mohd. Anuar turut menyatakan bahawa terdapat segelintir individu yang sering memberi alasan tidak mampu, sedangkan mereka masih boleh berbelanja untuk hiburan, percutian atau kehendak lain.
“Sikap mengelakkan diri daripada tuntutan agama dengan pelbagai justifikasi menunjukkan kelemahan dalam memahami nilai sebenar pengorbanan.
“Hakikatnya, korban ialah latihan rohani yang mendidik manusia supaya sanggup melepaskan sesuatu yang disayangi demi memperoleh keredaan Allah SWT.
“Dalam Surah al-Hajj ayat 37, Allah SWT menjelaskan bahawa yang sampai kepada-Nya bukanlah darah atau daging haiwan korban, tetapi keikhlasan dan ketakwaan hamba-Nya,” jelasnya.
Katanya, nilai sebenar ibadah korban terletak pada niat, keikhlasan dan kesungguhan dalam melaksanakan tuntutan agama.
Dengan perancangan kewangan yang baik serta kesedaran terhadap tanggungjawab agama, ibadah korban mampu menjadi medan pendidikan jiwa dan simbol ketaatan umat Islam kepada Allah SWT.















