KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan sempena Aidilfitri kepada 38,850 asnaf melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM18.171 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, setiap asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan terlibat telah menerima bantuan sebanyak RM500.
Selain itu beliau berkata, MAIWP turut menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM138,000 melibatkan 400 ketua keluarga dan 200 kanak-kanak.
“Ia sebagai tanda komitmen berterusan dalam meringankan beban golongan asnaf, malah bukan sekadar sumbangan, tetapi juga simbol bahawa setiap agihan zakat membawa harapan dan menghidupkan kebersamaan dalam masyarakat.
“Dalam masa yang sama, MAIWP turut memperkukuh impak agihan zakat melalui kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan peruntukan keseluruhan RM3.136 juta bagi melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan dakwah kepada pelbagai kelompok yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Rahmah Madani MAIWP: Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, Kampung Datuk Keramat, di sini hari ini.
Sementara itu, MAIWP menerusi kenyataan memaklumkan, sehingga semalam, MAIWP sudah mengagihkan RM257,069,178 dana zakat.
“Ia meliputi 38 skim bantuan meliputi (kluster 2) selain bantuan secara tidak langsung menerusi program pembangunan asnaf dan menerusi institusi pendidikan oleh MAIWP ,” kata kenyataan itu, hari ini. – KOSMO! ONLINE














