fbpx
NURUL AZLI memasang pelita raya sebagai persiapan menyambut pengunjung ke Homestay Wan Pa di Wang Ulu, Kangar semalam.

‘Maaf, homestay untuk raya semua penuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Inap desa atau homestay kekal menjadi pi­lihan golongan perantau yang pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga apabila hampir kesemua penginapan berkenaan telah ditempah pelanggan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata golongan perantau mem­buat tempahan sejak tahun lalu dengan hampir semua inap desa sudah penuh sepanjang ming­­gu pertama Aidilfitri.

Situasi itu menyebabkan majoriti pengusaha inap desa terpaksa menolak tempahan saat akhir. Rata-rata perantau memi-lih penginapan berkenaan untuk keselesaan kerana rumah keluar­ga tidak mampu menampung jumlah yang ramai.

Di George Town, pengusaha Ana Jaslina Homestay di Teluk Kumbar, Rohana Aziz berkata, dia mula menerima tempahan bagi empat buah homestay miliknya sejak Aidilfitri tahun lalu dengan paling rancak awal tahun ini.

Menurutnya, pelanggannya terdiri daripada anak perantau yang tinggal Kuala Lumpur dan negeri di wilayah Utara seperti Perlis dan Pulau Pinang yang memilih untuk menginap selama tiga hari bermula 20 Mac ini.

“Mereka memilih menginap di homestay pada Aidilfitri kerana mahukan keselesaan dengan ruang kediaman yang lebih luas.

“Pelanggan masih inginkan suasana raya dalam vibes kampung. Biasanya, kediaman keluarga terlalu kecil seperti di rumah flat dan tidak muat untuk keluarga besar,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui terpaksa menolak tempahan di saat akhir meskipun masih ramai yang menghubungi untuk membuat tempahan ketika ini.

“Maaf…homestay sudah penuh. Kami terpaksa tolak untuk tempahan minggu pertama Syawal. Ada beranggapan lebih berbaloi tinggal di homestay dengan tawaran harga dari RM300 hingga RM400 semalam berbanding di hotel,” ujarnya.

Bagi pengusaha Juma Homestay di Sungai Ara, Fazrina Jamaludin, dia telah menutup tempahan sejak tiga bulan lalu dengan pelanggan dari Johor dan Kuala Lumpur menginap dari Syawal pertama hingga keempat.

Razif mengemas salah sebuah inap desanya di Kubang Jela, Kuala Terengganu.

Di Kuala Terengganu, pekerja inap desa, Razif Yusof, 42, berkata, dua unit rumah diusahakan majikannya telah ditempah sehingga hari ketujuh Aidilfitri.

“Rata-rata pelanggan memilih untuk menginap di inap desa demi keselesaan keluarga masing-masing. Menurut mereka rumah induk keluarga tidak muat untuk semua ahli keluarga yang pulang beraya,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Nur Athira Hanim Mohamad, 31, berkata, tiga unit rumah inap miliknya yang terletak di bandar raya ini dan Kuala Nerus sudah penuh ditempah sehingga hari kelima Syawal.

Di Pasir Puteh, Pemilik Siti Homestay, Siti Rabiau Mohamad, 62, mengakui, kesemua 10 unit inap desa dan beberapa bilik penginapannya sudah ditempah sebelum bulan Ramadan de­ngan kadar sewaan antara RM160 hingga RM180 sehari.

“Perantau sekarang lebih mementingkan keselesaan terutamanya yang mempunyai anak kecil. Kita sediakan ruang sendiri untuk berehat selepas penat beraya di kampung.

“Pilihan tersebut memudahkan pergerakan, memberi privasi halal mahram antara ipar-duai dan mengelakkan kesesakan, namun tidak menjejaskan amalan ziarah-menziarahi,” katanya.

Berbeza dengan di Kangar, pengusaha Homestay Wan Pa, Nurul Azli Adzame mendedahkan, inap desa miliknya turut ditempah mereka yang mengambil peluang untuk bercuti pada Aidilfitri.

“Tempahan untuk Aidilfitri tahun ini bagi tarikh 19 hingga 22 Mac sudah penuh. Di sini, tempahan dibuat pelancong luar yang mengambil peluang datang bercuti, bukan sahaja untuk pulang beraya berdasarkan trend tahun-tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, antara tarikan utama yang menjadi perhatian pengunjung ialah buah harum manis yang dijangka mula dituai sekitar tempoh tersebut.

Pengusaha Persatuan Homestay Kampung Hujung Bukit, Jukhairdi Abidin berkata, lebih 80 peratus daripada 30 unit inap desa ditempah dan dijangka kesemuanya ‘laris’ dalam tempoh seminggu sambutan Aidilfitri.

Tambahnya, inap desa menjadi pilihan kerana ia lebih santai disamping aktiviti mengail ikan serta berbasikal di kawasan ­Ujong Bukit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN