Kita makan apa 30 tahun lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMPAKNYA isu bekalan beras tempatan sudah reda. Hampir tiada kedengaran rungutan mengenai ketiadaan beras tempatan di kedai-kedai atau pasar raya.

Apa yang kedengaran ialah harga ayam kembali naik, tetapi isu mengenai harga barangan khususnya bekalan makanan ini tidak akan ada kesudahan kerana semua itu saling berkait termasuk perubahan iklim dan percaturan politik dunia.

Umum mengetahui perang antara Russia dan Ukraine yang merupakan pengeluar satu pertiga daripada bekalan gandum dunia menyebabkan bekalan itu terjejas sehingga hari ini, begitu juga pengeluaran bijirin dan baja.

Dilaporkan konflik itu mengancam keterjaminan makanan berjuta orang di dunia khususnya negara miskin apabila rakyat mereka berdepan keadaan tidak cukup makan, kurang zat, kelaparan besar-besaran serta kebuluran.

Mungkin pada ketika ini, negara kita masih mempunyai banyak bekalan makanan meskipun rakyat berasa agak perit dengan kenaikan harga berbanding beberapa tahun lalu.

Makanan masih boleh dibeli di mana-mana, malah rakyat kita makan secara berlebihan berbanding rakyat negara lain. Ini terbukti apabila Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar obesiti Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu 15.6 peratus.

Sementara kajian terkini menunjukkan 50.1 peratus rakyat kita ada masalah berat badan berlebihan dan obesiti sekali gus kekal sebagai masalah utama kesihatan awam.
Ini yang berlaku pada 2023. Bagaimana pula jika kita masih hidup dan bernafas pada 2053? Statistik menunjukkan rakyat Malaysia berjumlah 22.2 juta pada tahun 2000, 27.48 juta (2010) dan 32.45 juta (2020).

Jika melihat kepada unjuran pertumbuhan penduduk negara meningkat sekitar 5 juta orang bagi setiap tempoh 10 tahun. Ini bermakna menjelang 2053 rakyat negara kita boleh cecah 47 juta orang.

Bayangkan bagaimana anak-anak yang baru lahir hari ini akan menjalani kehidupan menjelang tahun 2050 jika kita tidak membuat persediaan mengenai bekalan makanan bagi mereka ini.
Kerajaan perlu pantas merencanakan pelan pembangunan industri makanan bagi tempoh jangka panjang.

Tanpa perancangan inklusif, kita akan menempah padah termasuk kebuluran di bumi subur ini.
Negara juga mesti mempunyai pelan mengurangkan kebergantungan import makanan dari tahun ke tahun sehingga ke tahap yang paling minimum kerana senario itu sangat berisiko terutama ketika dunia berdepan musim kemarau panjang akibat fenomena iklim El Nino selain pergolakan politik antarabangsa.

Pada masa sama, didiklah generasi muda dengan konsep pemakanan sihat seperti yang diperkenalkan oleh KKM melalui program Pinggan Sihat Malaysia iaitu suku suku separuh.

Masa depan negara generasi muda mesti dipersiapkan dari awal supaya tidaklah seperti kata orang dulu-dulu, ‘sudah kalah baru berkubu’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN