fbpx

KKR ambil tindakan segera aduan jalan rosak di MRR2, Bulatan Kampung Pandan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander melihat keadaan jalan di Bulatan Kampung Pandan menghala ke Lebuh raya MEX atau pusat beli-belah MyTown yang menyebabkan beberapa penunggang motosikal tergelincir baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tindakan segera telah diambil ke atas aduan kerosakan jalan raya di KM8.2 arah Kepong di laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Bulatan Kampung Pandan Memasuki Lebuh Raya MEX atau Pusat Membeli Belah MyTown, Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembaikan sementara menampal lubang oleh pihak pemaju petang semalam dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak juga telah mengarahkan pemaju untuk membuat tampalan kekal.

Katanya, pemaju memaklumkan akan melaksanakan kerja pembaikan tampalan kekal dalam tempoh segera selepas mendapat pengesahan dari pihak ‘specialist supplier’.

“Ketika di Parlimen bagi sesi pembentangan Bajet 2024 semalam, insiden kemalangan yang berlaku di kedua lokasi ini telah saya terima dan mengarahkan pasukan JKR untuk mengambil tindakan segera.

“Bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kami turun dan melihat sendiri keadaan dan tindakan segera yang telah diambil pada pagi ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook tadi.

Alexander berkata, bagi lokasi pertama, dimaklumkan kerosakan berpunca pada ‘expansion joint’ jejambat yang menyebabkan ‘pothole’.

“Terdapat juga kerosakan pada struktur jambatan seperti ‘deck slab’ dan ‘bearing pad’ melalui pemeriksaan di tapak oleh pemaju atau JKR Daerah Gombak.

“Bagi jangka masa panjang, perlu penggantian expansion joint dan pembaikan kerosakan struktur jambatan pada ‘deck slab’,” jelasnya.

Selain itu katanya, JKR Selangor akan menyediakan anggaran kos pembaikan dan akan mengemukakan permohonan ke CSFJ atau KKR dalam tempoh satu minggu untuk kelulusan peruntukan pembaikan struktur jambatan serta penggantian ‘expansion joint’.

“Di lokasi kedua pula, saya difahamkan hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut kemungkinan berpunca daripada penunggang motosikal tergelincir di atas ‘longitudinal bridge joint’ yang dibina untuk projek perlebaran jalan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dimana ianya berada di luar LMR (Limit of Maintenance Responsibilities) MEX.

“Sewaktu tinjauan sebentar tadi, saya mendapati pihak DBKL telah melaksanakan pembaikan sementara dengan menutup lubang pada Longitudinal Bridge Joint menggunakan simen,” katanya.

Menurut Alexander, setelah perbincangan diadakan bersama DSKSU, Ketua Pengarah JKR, LLM dan MEX, beliau mengarahkan satu sesi perbincangan lebih lanjut dengan pihak DBKL diadakan secepat mungkin bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi menyelesaikan isu Longitudinal Bridge Joint itu.

“Berkali-kali saya tekankan, masalah lubang jalan atau sebarang gangguan kelancaran jangan dipandang ringan kerana melibatkan nyawa dan keselamatan manusia.

“Selari aspirasi Kempen MYJalan, saya berharap semua pihak tidak lagi memandang remeh perkara ini dan mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI