fbpx
Keadaan sesak di salah sebuah stesen LRT aliran Kelana Jaya pagi ini. IHSAN MEDIA SOSIAL

Laluan Kelana Jaya tergendala akibat kerosakan komponen tren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan hari ini susulan gangguan teknikal membabitkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya sehingga menjejaskan jadual perjalanan penumpang.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan komponen tren yang menyebabkan tren berkenaan tidak dapat bergerak di stesen terbabit.

Menurutnya, pihak operasi segera mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.

Ujarnya, tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Ara Damansara manakala tren dari Stesen Gombak pula berpatah balik di Stesen Kelana Jaya dengan jangkaan kekerapan enam minit.

“Tren perantara dari Stesen Ara Damansara ke Stesen Kelana Jaya (Platform 2) pula dijangka beroperasi setiap lapan minit.

“Bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan antara Stesen Ara Damansara, Lembah Subang dan Kelana Jaya dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa,” katanya.

Rapid KL berkata, gangguan operasi itu dijangka menyebabkan penumpang mengalami tempoh menunggu lebih lama di platform terutama di Stesen Ara Damansara dan Stesen Kelana Jaya.

Sehubungan itu, penumpang disarankan menggunakan laluan alternatif lain termasuk Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Menurut kenyataan itu, pasukan teknikal kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk memulihkan operasi normal secepat mungkin.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform serta ruang legar stesen untuk membantu pengguna,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN