fbpx

Dua pemenang ITBM ke IIBF 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AZWANI (kiri) menerima hadiah utama Peraduan Beli Buku ITBM yang disampaikan Fadhlina (kanan) sambil disaksikan Hui Ying (tengah) di Wisma ITBM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Dua pembaca bertuah yang juga pemenang hadiah utama Peraduan Beli Buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) akan dibawa menyertai delegasi Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2023 yang bakal bermula esok.

Kedua-dua pembaca berke­naan iaitu Nur Azwani Ali dari Ba­ling, Kedah dan Dr. Ehwan Ngadi yang juga pensyarah di sebuah universiti awam memenangi pakej khas selama tiga hari dua malam ke pesta buku berkenaan.

Kemenangan itu hasil penyertaan kreatif mereka berdua dalam peraduan terbabit semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 pada Mei lalu.

IIBF yang berlangsung di Indonesia Convention Exhibition (ICE) BSD City, Banten, Indonesia akan membuka tirainya pada 27 September dan berakhir 1 Oktober depan.

Nur Azwani dan Ehwan dipilih sebagai pemenang hadiah utama berdasarkan slogan terbaik yang dihasilkan daripada akronim ITBM.

Selain itu, dua hadiah pertama berupa set sudut bacaan ITBM bernilai RM5,000 telah dimena­ngi oleh Siti Faridah Leong Abdullah dari Port Dickson dan Nurhusna Zainal Abidin dari Cheras.

10 pemenang lain menerima hadiah saguhati berupa baucar pembelian buku ITBM bernilai RM300 setiap seorang.

SLOGAN dihasilkan Nur Azwani daripada akronim ITBM yang melayakkannya memenangi pakej khas ke IIBF 2023.

Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang peraduan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu majlis ringkas sempena Ulang Tahun Ke-30 ITBM di Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju baru-baru ini.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah berkata, secara keseluruhan, peraduan tersebut telah berjaya menarik lebih daripada 500 penyertaan.

Jelasnya, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia sentiasa mencari ruang untuk mendapatkan buku-buku berkualiti pada harga berbaloi, terutama­nya di reruai ITBM semasa PBAKL 2023.

Tambah beliau, semua hadiah yang diberikan itu juga merupakan satu bentuk penghargaan dan galakan kepada pembeli dan pembaca buku ITBM untuk terus mencintai buku.

Secara tidak langsung katanya, ia dapat membudayakan amalan membaca, yang seterusnya akan mencambah pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan masyarakat.

“Budaya dan amalan membaca perlu sentiasa dipupuk dan diperluaskan bagi melahirkan generasi yang berintelektual tinggi.

“Dua pemenang hadiah utama peraduan ITBM ini dijadualkan akan menyertai delegasi Malaysia untuk merasai pengalaman ke IIBF 2023,” ujarnya.

SEORANG lagi pemenang hadiah utama Peraduan Beli Buku ITBM, Dr. Ehwan Ngadi yang bakal menyertai delegasi Malaysia ke IIBF 2023 di Banten, Indonesia.

Sakri memberitahu, selain dua pemenang hadiah utama, de­legasi dari Malaysia turut disertai beberapa penerbit universiti antaranya dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Turut menyertai delegasi ber­kenaan adalah agensi kerajaan, penerbit buku serta penyertaan buat pertama kali oleh perpustakaan negeri, iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Perbada­nan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dan Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL).

Sementara itu, salah seorang pemenang utama, Nur Azwani, 34, berkata, dia tidak menyangka penyertaannya buat kali kedua dalam peraduan ITBM membuahkan hasil yang lumayan.

Menurutnya, pada tahun 2016, dia pernah menyertai pe­raduan yang dianjurkan ITBM dan turut memenangi hadiah saguhati berupa baucar buku bernilai RM200.

“Saya tidak sangka kali ini rezeki saya terpilih sebagai pemenang hadiah utama. Impian saya selama ini akhirnya tercapai kerana sebelum ini hanya menang ­hadiah saguhati semasa pesta buku di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

“Ternyata percubaan kali ini membuahkan hasil, akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki ke pesta buku luar dari Malaysia dan saya akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” ujar anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Mengulas lanjut, Nur Azwani berkata, dia mula meminati buku-buku keluaran ITBM sejak me­nuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Katanya, setiap kali pesta buku diadakan dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk membeli buku-buku keluaran ITBM.

“Kalau saya tidak hadir pesta buku sekali pun, saya akan kirim kepada kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang hadir. Sebab setiap tahun saya akan membeli buku keluaran ITBM,” kata gra­duan jurusan komunikasi itu.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI