fbpx

266 sekolah agama swasta belum berdaftar, diluluskan – Mohd. Fared

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD FARED ketika menjawab Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai jumlah sekolah agama swasta yang tidak berdaftar di negeri ini pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melalui Bahagian Pendidikan Islam telah mengesan 266 buah sekolah agama swasta yang masih belum berdaftar tetapi telah diluluskan penubuhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia melibatkan 31 buah sekolah tahfiz, 12 buah pondok, 10 sekolah rendah Islam, dan 213 prasekolah.

“Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang ingin berdaftar dalam negeri Johor, sekolah tersebut perlu melalui beberapa proses kelulusan mengikut Kaedah-kaedah Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1981.

“Terdapat 15 proses atau dokumen wajib yang perlu disediakan dan antaranya ialah status hak milik tanah (agar tidak timbul isu setelah didaftarkan), perakuan dari Jabatan Kesihatan, perakuan dari Jabatan Bomba dan perakuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu, surat kebenaran mengajar guru-guru yang dikeluarkan dari Bahagian Undang-undang Syariah merupakan salah satu dokumen wajib yang perlu disediakan bagi memastikan guru-guru yang mengajar di sekolah tahfiz mempunyai tauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai jumlah sekolah agama swasta yang tidak berdaftar di negeri ini pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared (BN-Semerah) berkata, Sekolah Agama Swasta Negeri Johor adalah salah satu
sekolah yang wajib didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama 1991.

Beliau berkata, sehingga Julai lalu, sebanyak 215 buah sekolah agama swasta yang telah sempurna pendaftarannya dengan jumlah pelajar lebih 7,000 pelajar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI