fbpx

Sistem gaji progresif tingkatkan produktiviti pekerja – Sivakumar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (baju ungu) ketika tiba di Menara HRD Corp bagi melancarkan Majlis Semarak Merdeka: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Sistem gaji progresif akan meningkatkan produktiviti pekerja selari dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki sekiranya dilaksanakan oleh semua majikan swasta.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, meskipun sistem gaji progresif ini tidak diwajibkan, namun ianya penting untuk mengekalkan pekerja sedia ada untuk terus memberikan keuntungan kepada majikan.

Ujarnya, masalah yang timbul adalah gaji minimum RM1,500 yang diberi adalah tidak setara dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimilik pekerja sekali gus mengurangkan kadar produktiviti.

“Gaji minimum kita ada sekarang adalah RM1,500. Tetapi ada antara pekerja dah pergi belajar program latihan teknikal dan vokasional (TVET) dua ke tiga tahun, tetapi gaji yang mereka dapat adalah sama dengan pelajar baru lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu RM1,500.

“Kebanyakan majikan kini fikir kalau bayar gaji minimum sahaja sudah memadai. Ini satu ketidakadilan kepada mereka yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan pengetahuan. Kalau kita nak naikkan gaji minimum, tidak adil pula kepada semua majikan. Jadi perlu seimbang.

“Majikan inginkan produktiviti dalam kalangan pekerja meningkat. Jadi sistem gaji progresif ini boleh membantu kedua-dua pihak sama ada pekerja atau majikan. Nak produktiviti meningkat, beri gaji yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Semarak Merdeka: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), di Menara HRD Corp, di sini, hari ini.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk majikan memberi gaji yang setanding dengan kemahiran dan pengetahuan dimiliki pekerja selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Terdahulu, Sivakumar berkata, gaji minimum RM1,500 masih dikekalkan di bawah kerangka dasar sistem gaji progresif yang bakal diperkenal oleh kerajaan.

Beliau berkata, sistem gaji progresif, yang dilihat paling relevan untuk diamalkan di Malaysia, perlu seiring dengan gaji minimum dan meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus memberi keuntungan kepada majikan.

Pada Khamis lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dasar sistem gaji progresif diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentang dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini dengan jangkaan pelaksanaan pada April atau Mei tahun depan.

Sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI